Hari ini detik 5.30 petang muncul lagi. Detik yang satu waktu dahulu menjadi detik yang aku tunggu-tunggu dan nanti-nanti. Selepas berpisah dari jam 6.45 pagi hingga 5.30 petang kurasakan saat-saat yang berlalu bagai terlalu perlahan. Perpisahan lebih kurang 10 jam tanpa kekasih hati disisi membuatkan aku menjadi perindu yang sabar. Ya aku terpaksa pergi mencari rezeki dan dia pula harus ke puncak menaranya. Ku pujuk-pujuk diri ini bahawa sesungguhnya perpisahan itu sementara cuma. Detik 5.30 petang pasti muncul untuk aku bersua muka, merenung mata apatah lagi merangkulnya.


Kadangkala juga sambutan kepulangannya itu aku hidangkan dengan hasil tangan yang tidak mengecewakan. Mee goreng, maggi goreng, keropok lekor, cucur kodok, keropok ikan mahupun nugget pasti menjadi pilihan. Sering ingin memberikan yang terbaik aku sentiasa bersiap sedia. Kadang-kala ku akui apabila aku kepenatan atau pun dilanda kemalasan, air kosong menjadi pilihan. Namun dia tidak pernah mengeluh. Diterimanya apa yang aku hidangkan pada petang hari dengan senyuman mekar menguntum.
Apabila pintu dikuak, hadirlah sesusuk tubuh insan yang aku sayangi dan rindui seperti sudah lama tidak berjumpa. Kepulangannya ku sambut dengan wajah ceria, atau kadang-kala pura-pura masam minta dipujuk. Bagai anak kecil yang minta jajan aku menarik muncung. Sungguh aku ingin selalu berada di sampingnya (Maafkan aku yang sukar berenggang dengannya). Sambil menghadap hidangan petang mulut kami berbicara tentang hidup yang seketika tadi. Tentang kerja, tentang belajar, tentang teman apatah lagi tentang guru-gurunya. Semuanya ingin kami kongsi dan tidak ketinggalan walau sedikit pun. Kami bergurau senda dan bergelak ketawa.

Kini detik 5.30 petang berlalu bagai awan yang menyapa. Tidak lagi memberikan kedinginan bagai waktu dahulu. 5.30 petang pada hari-hari setelah dia melangkah pergi berpuput begitu sahaja. Membiarkan petang berlalu dan senja menjengah tiba. Sedang aku khayal sendirian duduk diruang tamu melayan gelora rasa. 5.30 petang terlalu kejam kerana membiarkan hari berlalu begitu rupa. Pun 5.30 petang bagaikan terlalu angkuh melihat aku merintih pada kenangan-kenangan lalu. 5.30 petang tidak lagi memandang aku dalam kegembiraan. Kini 5.30 petang begitu sombong dan angkuh meninggalkan aku dengan harapan menanti 5.30 petang keesokan harinya. 5.30 petang esoknya bagai memberikan sinar harapan. 5.30 petang hari esok bagai menjanjikan kepulangan dia. Dan 5.30 petang pada esok akan bisa membahagiakan aku. Jadilah apapun pada detik 5.30 petang, biarkan aku disini menunggu susuk tubuh dia yang aku kenali itu.

Pulanglah sayang… Detik 5.30 petang ku tak jemu menunggumu pulang…