Monday, September 21, 2009

SELAMAT ULANG TAHUN PERKENALAN

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang

SELAMAT ULANG TAHUN PERKENALAN

Detik 21 September yang lalu mungkin ada seorang insan telah lupa dia telah menjumpai seseorang yang amat disayangi. Pun setelah kasih, sayang, cinta dan kenangan lalu ditinggalkan dan telah dia cuba membuka lembaran baru pada episode baru, semua kenangan silam telah cuba untuk dia leburkan segalanya. Telah dia cuba untuk melemaskan insan yang pernah dia panggil dan dia rungsing kala berjauhan. Sekarang segalanya tinggal kenangan atas jawapan sms nya yang berharap agar kekasih ini bertemu jodoh dengan seseorang yang hebat dan dapat memberikan kasih sayang sejati. Tertawa aku, mengapa mesti dia mendoakan aku?

Benarkah selama ini cintanya palsu? Atau benarkah cinta sayang wujud dahulu adalah satu perhentian semata. Dengan kalungan wang ringgit dan hiasan intan permata dia kini bangga mendabik dada. Bukan kaki kikis katanya!!! Tolonglah sayang, tiada siapa yang akan percaya kata-kata yang cuba kau ucapkan kini. Dari mana datangnya cinta. Kalau bukan dari mata turun ke hati. Tapi bagimu, persoalan tentang cinta kini yang kau miliki datangnya dari wang ringgit yang melimpah ruah. Ketamakan menguasai jiwa. Kesedaran itu masih belum wujud. Kau lebih ingin insan lain berkorban kerana mu, dari kau berpenat lelah berkorban mencari cinta. Kau mahu jalan pintas. Apalagi kau inginkan kekayaan yang automatik. Sayang… Punyakah kau perasaan itu?

Sayang, sesungguhnya percayalah dalam mencari kebahagiaan itu akan kau temui segala keperitan dalam hidup. Setiap manusia bahagia bila dia berupaya membuka mata untuk menyedari bahawa dia memiliki banyak perkara yg sangat beerti. Manusia akan bahagia bila dia mahu membuka mata hati, untuk menyedari betapa dia dicintai. Manusia akan bahagia bila dia berusaha membuka diri, agar org lain mencintainya dengan setulus hati. Manusia tidak bahagia kerana tak mahu membuka hati. Seboleh-bolehnya kini kau berusaha meraih yang tidak dapat diraih. Memaksa untuk mendapatkan segala yang diinginkan. Tak mahu menerima dan mensyukuri apa yang ada

Percayalah sayang, dengan tiba-tiba kau telah menjadi manusia yang buta, egois dan hanya memikirkan diri sendiri. Tidak sedar bahawa kau begitu dicintai. Tidak sedar bahawa pada waktu dahulu, apa yang ada lebih baik. Kini, kau berpayah dan berusaha untuk mencari yang lebih baik. Dan tak mahu sedar kerana nafsu serakah! Kau lemas dalam dunia ciptaan mu sendiri.

Disini ada seorang insan yang begitu mencintai, namun tidak diendahkan. Kerana memilih, menilai dan menghakimi sendiri.. Memilih teman sempurna dan mencari-cari yang hebat dari golongan berada. Sedangkan di depan mata ada teman yang sejati setia bersama mu. Telah memiliki segala yang terbaik namun kau tetap tamak. Ingin sentiasa dirimu yang paling diperhatikan, paling di sayang dan mahu lebih perhatian. Tetapi tanpa kau sedar, kau adalah manusia yang memiliki peranan tersendiri. Cubalah berbuat sesuatu untuk orang lain daripada menunggu orang lain membuatnya untuk dirimu.

Tanpa kau sedari dalam permainan ini, kau tewas dalam bayang-bayang sendiri. Kau lupa siapa dirimu yang sebenarnya. Kau telah mengubah diri menjadi seseorang yang tidak dikenali oleh diri mu sendiri! Kau gagal dalam mencari jati diri. Kau gagal untuk berdiri di atas kaki sendiri.

Sayang, percayalah kebahagian sebenarnya datang dari dalam diri sendiri. Jika mengharap daripada orang lain, bersedialah untuk ditinggalkan, bersedialah untuk dikhianati. Bersedialah untuk dicaci keji. Jika ingin kebahagiaan datang dalam hidup, kau perlu mencari identity diri. Kita hanya akan bahagia bila mampu menerima diri apa adanya. Mencintai dan menghargai diri sendiri Mahu mencintai orang lain dan mahu menerima orang lain. Percayalah kepada Yang Maha Pencipta dan bersyukurlah kepadaNYA. Seringkali jangan pernah lupa bahawa kita selalu diberikan yang terbaik. Sesuai usaha kita sendiri. Tak perlu berkeras hati dan mengimpikan sesuatu yang menjadi milik orang. DIA akan memberi kita segalanya di saat yang tepat atas apa yang kita perlukan. Meskipun bukan hari ini, masih ada esok, lusa atau hari-hari mendatang. BERUSAHA DAN BERBAHAGIALAH DENGAN USAHA SENDIRI TANPA MENUMPANG HAK ORANG.

Sayang, kenali lah diri sendiri dengan sentiasa memandang ke belakang. Jangan terus mara laju ke hadapan tanpa sempat menoleh walau seketika pun ke belakang. Bila telah terlihat segalanya, pasti akan kau temui nanti, seorang ENGKAU di dalamnya.

Selamat Ulang Tahun Perkenalan. Ayang Sayang B… Muahhh…

Saturday, September 19, 2009

Selamat Ulang Tahun Sayang

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang

19 September 1985

Telah lahir seorang insan yang sungguh bermakna dalam hidup ini. Kelahirannya pasti dinanti dan ditunggu oleh ahli keluarga. Dan pada 23 tahun selepas tarikh kelahirannya itu, telah ditemui aku insan yang dulu paling disayangi dan paling dicintai.


Tapi itu cerita lalu, sebuah kisah klasik yang berlaku setahun dulu. Masih segar katanya padaku. Hadiah paling bermakna untuk hari lahir yang ke 23 ialah AKU. Bukan orang lain. Bukan harta berjuta ataupun emas paling berharga. Hadiah yang bermakna itu adalah AKU. Insan yang sudi menerimanya apatah lagi memberikan kasih sayang tanpa sempadan dan syarat. Apatah lagi pada ketika itu tidak ada orang lain yang sudi bertamu dihati. Itu kisah lalu, kisah yang telah menjadi sejarah. Kini tanggal hari usianya genap 24 tahun, telah dia tinggalkan dan campak jauh-jauh hadiah yang paling bermakna yang telah Maha Pencipta kurnia kan padanya dulu terkapai-kapai keseorangan. Telah dia humban hadiah yang katanya amat bermakna itu kedalam sebuah lubang paling dalam dan hitam agar tidak perlu dia melihatnya lagi.

Sungguh telah dia lupakan pada hadiah yang mempunyai nama, hati dan perasaan yang telah bertakhta dihati suatu masa dulu. Yang telah sudi bersama-sama mengharungi lautan kehidupan yang berombak dan beralun. Berjanji takkan dia tinggalkan hadiah itu. Juga berjanji takkan dia kecewakan hadiah itu dan akan dia jaga rapi dan baik. Telah dia berjanji juga akan ditempatkan hadiah itu dalam hati di sudut yang paling istimewa dan berharga.

Untuk tahun 2009 menjangkau ke usia 24 tahun dia kini sedang mencari kebahagiaan hakiki. Yang katanya bisa membeli dunia. Yang dapat menurunkan bintang-bintang di langit dan bulan ke riba. Tidak mahu lagi dia menoleh ke hadapan kerana yang di depan mata terbentang harta Qarun, selautan mata memandang. Dia ingin dibaluti dengan intan permata, emas, berlian ataupun zamrud yang paling mahal didunia. Dia ingin sekali makan santapan paling agung, lazat dan bisa membuatkan perut kenyang untuk seribu tahun lagi. Dia telah pun mendapatkannya, dia telah pun menikmatinya. Tapi sayang keseluruhan harta yang melimpah ruah menimbun banyaknya itu BUKAN MILIK DIA.


Happy Birthday 2 U Sayangku. B sayang sangat2 kat yang. Terima kasih sebab jadi buah hati B. Semoga panjang umur dan murah rezeki. Muahhh..
- 26 Februari


Lewat kiriman yang telah diutuskan untuk ku pada genap usia kelahiran ku. Dan kini menjadi seorang manusia yang sangat menyayanginya, apatah lagi memgharapkan agar Maha Pencipta mendorongnya untuk melalui jalan yang betul dan lurus aku tetap menghantar kiriman sms berbaur kasih sayang dan kemesraan. Biarlah hari kelahirannya kini tidak dapat aku sambut dan berikan hadiah yang mahal-mahal bernilai jutaan ribu ringgit. Biarlah hanya dengan ucapan dan panggilan telefon. Biarlah tanggal kelahiran yang ke 24 ini menjadikan dia semakin dewasa dan bijak berfikir. Biarlah dia menjadi tuan di hati. Biar juga dia memilih jalan hidup yang ingin dilaluinya. Biar dia menjadi penumpang dalam kapal mewah yang diidamkan selama ini. Biarlah dia berjinak-jinak dengan kemaruk wang, pangkat, harta dan darjat. Biarlah dia mengatur hidup sendiri. Dia telah dewasa. Dia telah matang. Dia tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, yang hak dan yang batil. Dia tahu membezakan mana yang hitam mana yang putih. Juga dia tahu mana yang kotor mana yang bersih. Mana yang salah dan mana yang betul. Mana yang lurus mana yang tersimpul. Semuanya dia tahu. Dia telah perlahan-lahan menjadi dewasa dengan hasutan orang, taburan wang ringgit dan gelap mata. Biarlah, biar dia susuri jalan hidupnya sendiri. Dia sedang menuju kea lam dewasa.

Sayangku, apapun sambutan dan hadiah yang kau terima untuk ulang tahun kelahiran yang ke-24 ini aku tidak tahu. Juga tidak ingin tahu. Cuma ingin selalu mengingatkan agar hadiah-hadiah lalu tidak kau buang, lemparkan atau ketepikan bila telah kau mendapat hadiah yang baru. Kerana dalam kemanisan atau keindahan hadiah baru, tersimpan satu kisah yang bakal tercoret pada masa hadapan. Sedang hadiah lama ini telah pun tercatat dan tercoret dengan suka-duka, pahit-manis, senyum-tangis apatah lagi segala kenangan dan keindahan dunia bila kau mula belajar mengenal cinta, kasih sayang dan kesetiaan. Jangan terlalu asyik dan terleka sehingga akhirnya dunia yang takbur ini, tertawa menonton kau sayang.



Selamat ulang tahun sayang
Kini kau bersayap, pergilah terbang
Rentaslah langit cita cita mu
Harap nanti kita 'kan bertemu

Selamat ulang tahun sayang
Janganlah engkau tak terbang pulang
Ku nanti penuh kerinduan
Selamat tinggal, selamat jalan

Aku hanya inginkan engkau setia
Kerana setia yang mencipta bahagiamu

Sekadar memetik lirik lagu Imran Ajmain – Selamat Ulang Tahun Sayang. Hayatilah bai-bait ini. Agar sambutan ulang tahun mu sayang. Menjadi memori indah dalam hidup yang menyongsang arus ini. Teruslah berkayuh. Masih jauh lagi untuk kau sampai ke sana.

Selamat ulang tahun sayang… Ayang sayang B… Muahhh…

Friday, September 11, 2009

Kita Pandang Bulan Yang Sama...

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang

Entah sejak 2 menjak ni, hati ni tak tenteram , rasa rindu , sunyi, rimas, semua nya ada (saja je intro macam ni, padahal dah tau kenapa kan?)

Pelik,walaupun ramai kawan2 yg ada disekeliling aku, tapi entah kenapa, kekadang aku banyak mengelamun dgn dunia ku sendiri...

Aku tak rasa keseronokan mereka, cuma memandang sepi...Ya kesepian melihat telatah mereka. Tak tahu perasaan ni kenapa begini (Cewah saja jer nak sorok kan...)

Entah apa lagi yg kurang , entah apa lagi yg hilang... Entah apa lagi yg hendak aku cari dalam kekosongan hidup ni....
Letih... semua nya buntu ...

Bila tengok-tengok kat internet tiba-tiba dapat madah-madah kat bawah ni. Tak tau lah siapa yang menciptanya. Orang yang ditinggalkan atau orang yang meninggalkan. Yang penting bagi aku semua ni ada benarnya...

"SEJAUH MANA PUN JARAK KITA
SELAMA MANA PERPISAHAN ITU
KITA TETAP PANDANG
BULAN YANG SAMA"




Ya, kat mana pun kita berada kan pada waktu ni, bulan, bintang dan langit yang kat atas sana tetap sama. Tak kisah lah sama ada rasa rindu tu ada lagi atau cuba kita sorok-sorokkan buat menghiburkan hati... Bulan, bintang dan juga langait tak pernah cuba meninggalkan kita.

Apa-apa pun yang paling best sekali adalah madah yang ini. Tengoklah sendiri erk sayang. Kalau kena kat batang hidung sendiri tu jangan marah ya. Terlalu banyak benarnya dari madah-madah ini. Dah banyak yang terlihat. Banyak gak yang dah berlaku depan mata. Tapi tetap memujuk diri dan memendam rasa. Takper lah, belajar lah pujuk diri tu ya sayang... Walaupun kini hijab tu dah terbuka di depan mata. Sayang tengok-tengokkanlah ya madah-madah gurindam luka.

JANGAN TINGGALKAN ORANG YANG KITA SAYANG KERANA ORANG YANG KITA SUKA
KERANA ORANG YANG KITA SUKA AKAN TINGGALKAN KITA
UNTUK ORANG YANG MEREKA SAYANG

JANGAN CUBA DAPATKAN APA YANG KITA SUKA
TAPI SAYANGILAH APA YANG KITA ADA


Buat sayangku, bacalah dan cuba fahami. Banyak maksud tersirat. Bila dah terjaga dari lena dibuai mimpi yang panjang, cepat-cepatlah basuh kaki dan melangkah pulang.

Ayang sayang B... Muahhh...

Sunday, September 6, 2009

Do You

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang.

Hello my friends. I wrote something for him in English. I hope he can read it and understand it. If not, try to use dictionary sayang. Hehehe... Simple English, I hope he will understand and know my feelings now. For my sayang... Enjoy the poem...



Do You

Do you feel me loving you
Do you feel me touching you
Do you feel me wanting you
Do you feel me honestly loving you

But i do have this fear
Fear for loving you
Fear for wanting you
Fear for losing you

Let me love you the way i do
Let me love you just the way you are
Let me love you where ever you might
And let me love you for the rest of you

Do you feel me loving you?
Do you feel me so close in your heart?
Do you feel me missing you so much?
Do you feel me loving you honestly?

This is what i got left
The only things and feelings that i had for you
This is the only thing that i wanted to
And please dont take it away from me.
Do you feel me loving you?
And yes i really do!

B, I'm still waiting for you. I hope you understand my feelings. I will always love you my dear... Here I am just for you sayang.

Ayang sayang B... Selamanya tetap sayang... Muahhh...

Friday, September 4, 2009

Awan Yang Terpilu

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang

Tetiba feel plak dengar lagu ni.. macam ada kena mengena jer ngan kisah aku.. Buat B sayang jangan lupa dengar ya. Lagu Fazli Zainal orand dah tak dengar dah lagi... Sayang B...Muahhh...

- awan yang terpilu -
Kerana cinta Aku kembara Bagai camar Melintas laut Mencari pohon Untuk berteduh Kerana cinta Aku kembara Ikut lagu Bisikan hati Mendamba kasih Paling setia Sepasang sayap tak terlihat Umpama mimpi yang tersimpan Jadi rintik-rintik hujan Menciptakan AWAN YANG TERPILU Puisi ini Tercipta lantas Tak kesampaian Hajat meronakan Gelora rindu Ku kepadamu Ingin sekali Aku ungkapi Isyarat jiwa Dengan sempurna Biar kau mengerti Biar kau sedari Keadaanku yang memujamu




Feelingnya.. nak nangis pun ada.. hahaha...

Tuesday, September 1, 2009

Jom Kita Berpantun..

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang..

Alhamdulillah masih lagi diberi peluang untuk aku meneruskan hidup walaupun tanpa dia disisi.. Ku gagahi untuk menyeret kerinduan ini kemana pun ku pergi. Tidak pernah sekali pun aku singkirkan ingatan dan perasaan kepada dia. Bagi aku, dia telah bersemadi dalam hati ini. Takkan ku biarkan insan lain cuba untuk merampas hati ini daripada lupa ataupun alpa dari mengingati dia. Takkan ku biarkan sama sekali.

Dalam duduk-duduk diam mengelamun dan merenung gambar-gambarnya dan kenangan manis saat bersama, tercetus nukilan pantun bernada sindiran untuk dia. Hayati dan renungilah sayang. Aku yakin kita semakin hampir untuk bersama semula. Cuma masa dan ketika belum terlihat didepan mata. Kutunggu saat itu, ku nanti saat itu. Pasti kita akan berpegangan tangan menyusuri jalan cinta kita ini bersama-sama kembali.



Buat dia, bacalah pantun ini. Juga fahami maksud tersirat

Tuan berjanji berpegang tangan,
Mengaku bersama menyingsing lengan,
Tidak peduli tegah dan jangan,
Umpama sungai tiada berhalangan.

Tetapi akhirnya apalah sudah,
Beberapa lama tangan menadah,
Rupanya tuan meluahkan ludah,
Umpama biawak bercabang lidah.

Tidakkah ingat tuan berkata,
Mahu bersama hina dan leta,
Daripada hidup berputih mata,
Biarlah tulang tercampak ke kota.

Tidak kusangka tuan tak ingat,
Umpama lebah membuang sengat,
Bila terasa api yang hangat,
Lekas benar tuan merengat.

Padang Panjang dilingkar bukit,
Bukit dilingkar kayu jati;
Kasih sayang bukan sedikit,
Dari mulut sampai ke hati.

Berkurun lama pergi menjauh
Wajah kulihat di dalam mimpi
Kalau dah kasih sesama sungguh
Kering lautan tetap ku nanti.



Buat dia yang bertakhta dihati (aku yakin dia tahu dia siapa), kesetiaan ku ini tidak bertepi. Percayalah, sampai bila-bila pun akan terus ku nanti. Biarlah aku menjadi pungguk, tetap kesayuan rindukan bulan. Aku hanya ingin bahagia. Janji-janjimu tetap terpatri dihati, seperti juga janji-janjiku padamu. Sungguh takkan aku berpaling darimu sayang.

B, ayang sayang B... Kebahagiaan milik B hanya ada disini.. Pulang lah sayang... Ayang menanti, menanti dan terus menanti dengan segala janji yang telah B ucapkan dulu.

Ayang sayang B... Muahhh...

Friday, August 28, 2009

Favourite Food...

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang…

Diam…Bungkam… Sepi… Perjalanan hidup ini seketika agak tempang tanpa dia di sisi. Bagaimana mungkin aku melupakan dia kalau setiap apa yang aku lakukan terbayang wajahnya. Apatah lagi pergerakannya yang seolah-olah tenang dan tersenyum memerhatikan aku kekok keseorangan begini. Memang telah aku berhenti dari menghubunginya. Apatah lagi menghantar mesej-mesej merayu dia pulang. Aku tahu dia tidak suka diganggu oleh aku lagi. Baginya telah dia campakkan aku pada ruang yang paling dalam dan telah dia kambus aku hidup-hidup.

Bulan puasa begini teringat aku pada makanan-makanan kegemarannya. Selalunya makanan kegemarannya itu aku yang sediakan. Bukan bermaksud aku rajin, aku malas sebenarnya. Tapi demi orang yang tersayang, kemalasan itu menjadi kerajinan atas dasar cinta. Namun aku tak tahu adakah kerajinanku itu dihargai atau tidak. Tetapi kalau dihargai, pasti dia masih lagi bersamaku kini. Kerana tidak menghargailah dia telah melangkah pergi dari sisi. Sungguh apa yang telah aku lakukan padanya waktu dahulu adalah perkara yang sia-sia belaka.


Sambal Ikan atau Sambal Ayam ini memang favret dia. Katanya kalau dapat makan hari-hari pun takpe.lagi-lagi kalau orang kesayangan yang masak. Hehehe… Kalau ada masa lapang, pasti aku akan masak ni. Kalau dia balik kampung jer mesti masakan ni gak yang Mak dia masak kan untuk dia. Aku plak, boleh lah… tapi makan hari-hari boleh berapi perut… Hehehehe…

Nescafe extra susu dan extra gula ni plak kegemaran dia time petang-petang. Dalam 5.30 petang bila dia nak balik jer mesti dia sms kat aku supaya buat air ni. Malam pun sama sebelum tido. Nescafe banyak kafein, tak boleh tido. Tapi dia 10.30 dah melingkar atas tilam. Tak ada effect Nescafe ni kat dia. Hehehehe…

Yang ni plak sayur kegemaran dia. Kobis..kobis..kobis.. Kalau boleh hari-hari nak masak kobis ni.Kobis ke kubis? Ntahlah. Betul ke ejaan aku? Masak mee goring pun dia suruh letak kobis. Bila aku Tanya nak masak sayur apa ya? Mesti jawapan dia kobis. Hehehehe… Aku okay jer. Masak jer lah. Tapi aku lebih prefer sayuran hijau macam kacang panjang, kalian atau kangkung. Tapi dia tak memilih. Apa yang aku masak dia telan jer.

Yang ni aku yang ajar dia. Masa first time kami g Secret Recipe dia tak tau nak pilih kek apa. Macam aku, aku suka Tiramisu atau Mocha. Dia plak prefer cheese cake. Aku dah muak makan cheese. Tak berapa boleh nak masuk. Dah banyak sangat cheese yang aku telan. Tapi dia suka. Oklah tu. Bila lah nak g Secret Recipe lagi dengan dia agaknya kan???

Yang ni dia suka sangat. Kat dalam peti ais tu banyak ada lagi. Dia lah yang tukang menghabiskan. Yang ni kawan-kawan steward and stewardess bagi kalau gi oversea ataupun kawan-kawan hadiahkan. Diaorang ingat chub macam aku suka sangat makan coklat. Oh ya, suka lah jugak. Tapi taklah makan hari-hari.

Yang ni memang aku tabik spring kat dia. Aku langsung tak boleh makan apa lagi nak tengok. Hehehehe… Selalunya dia akan pergi makan ni kat Puchong dengan geng-geng dia ataupun anak buah dia. Kalau dia ajak aku pergi. Aku mesti tak mau punya... Tak boleh masuklah. Sungguh. So better tak payah pergi.

Apapun aku tahu sekarang ni dia seronok sebab buah hati baru dia ada restoran dan boleh sediakan dia banyak makanan kegemarannya. Apa sangatlah mee goreng, meehoon goreng, nasi goreng yang aku bekalkan pada dia setiap pagi sebagai bekalan. Tak dipandangnya lagi. Banyak yang dia boleh dapat. Banyak gak yang dia dah lupa pada apa yang aku buat. Aku tahu dia tak lupa. Dia buat-buat lupa. Tak apa lah. Hari ni hari dia. Esok lusa siapa yang tahu.

B, kalau nak makan semua-semua ni (kecuali pulut durian bersantan) tu datanglah rumah ya. Insyallah, kalau ada kelapangan nanti ayang akan masak kan atau bawak B ke tempat-tempat yang B suka tu. Ayang kat sini tetap tunggu B. Ayang tetap sayang B. apapun yang terjadi B balik lah rumah ya. Ayang takkan marah kat B. Ayang tahu yang terjadi bukan atas dasar kemahuan B. Ayang sayang B... Muahhh…

Wednesday, August 26, 2009

Semalam, Hari Ini dan Esok...

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang..

Sudah agak lama aku tidak meluahkan hati blog kesayanganku ini. Rindu rasanya di hati ini. Serindu perasan yang memuncak pada dia. Rindu pada wajah dia yang telah melangkah pergi. Rindu menjadikan aku teman yang paling akrab kini. Biarlah aku berteman dengan rindu. Agar rajuk dan sendu di hati ini dapat perlahan-lahan hilang dan akhirnya kembali tenang.

Ibarat kata dia, pasti satu hari nanti ada jodoh antara kami. Aku tidak bosan menanti. Apatah lagi menghitung hari. Permainan yang telah dia ciptakan ini aku harap dapat ditamatkan segera. Apatah lagi kucar-kacir yang telah dia lakukan. Aku minta agar dapat dia pulihkan kembali. Aku tidak ingin bermusuh dengan sesiapa. Aku juga tidak ingin berdendam. Aku tahu dia menderita. Aku juga tahu dia tidak bahagia. Tetapi setinggi langit itulah ego lelakinya tak ingin tercabar. Biarlah aku menunggu dia. Biarlah aku menutup mulut untuk seketika. Aku terlalu banyak mengganggu hidupnya (Terima kasih kerana memberikan gelaran pengganggu kepada aku sayang)

Dan disini aku terus membuat catatan-catan luka. Jika tidak ingin sms ku di baca, renungilah kata-kata ku ini. Aku yakin sesungguhnya dia mengerti...

Semalam…
Kau di sisiku menemani
Saat suka dan duka
Tetapi hari ini…
Aku keseorangan lagi
Kesepian…
Namun esok…
Belum menjanjikan kepastian
Adakah kau dan aku bersama
Untuk selamanya

Semalam…
Aku ceritakan suka dan duka
Kaulah pendengar setia
Tetapi hari ini…
Akulah penglipur lara yang hidup
Namun esok…
Tatkala mentari terbit
Kau tiada kunjung tiba

Semalam…
Aku tersenyum
Tetapi hari ini…
Aku menangis tiada kau di sisi
Namun esok…
Aku terus berduka
Kerna kau tiada lagi di sisi

Semalam…
Aku bermimpi
Kau hadir dalam diri
Tetapi hari ini…
Yang pasti itu ilusi
Namun esok…
Kau bukan milik ku tetapi hanya mimpi

Semalam…
Yang indah sudah berlalu
Tetapi hari ini…
Yang nyata hanya tinggal kenangan
Namun esok…
Hanya sejarah yang tidak mengerti

Semalam…
Aku terjaga dari lamunan
Tetapi hari ini…
Aku cuma berangan-angan
Namun esok…
Satu kenyataan
Yang pasti tak siapa yang tahu segala ketentuan

Buat dia yang mengerti perasaan ini. Terima kasih kerana telah mengheret aku ke dalam permainan ciptaannya ini. Kebahagiaan tidak langsung singgah saat dia melangkah pergi. Derita, pertengkaran, kecurangan, ketamakan hawa nafsu menjadi mainan hidupnya sekarang. Biarlah perlahan-perlahan dia bermain di gigi air, tanpa sedar tsunami cinta bakal menenggelamkannya dan lemas dalam lautan ciptaan kekasih barunya.

B, ayang memilih untuk diam. Tetapi percayalah, hati, gelora perasaan dan suara rintihan ini tak pernah berhenti memanggilmu pulang. Selagi esok ada mentari, ayang percaya, pasti ada sinar bahagia buat kita. Cuma masa dan ketikanya, terlalu lambat untuk tiba.

Ayang sayang B... Sayang yang bukan mainan... Sayang yang bukan paksaan... Ayang sayang sangat-sangat pada B...Muahhh...

Friday, August 21, 2009

Dia Telah Diperbodohkan...

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang...

Tanggal 21 haribulan. Aku yakin dia tahu yang hari ini adalah hari yang bermakna bagi percintaan kami. Hari yang menemukan kami pada satu waktu dahulu. Tanggal 21 yang mana mungkin bisa aku melupakan hari yang telah membuatkan hidup ini kembali bererti setelah sekian lama menyendiri. Aku tetap menunggu panggilannya mahupun kiriman sms. Namun langsung tidak ada khabar berita. Apa telah terjadi pada rindu yang telah dilafazkannya padaku beberapa hari lalu. Terlalu pantas dia melupakan kerinduannya pada aku.


Aku terus-terusan menghantar sms kepadanya. Namun yang mengejutkan ialah dia seperti diperbodohkan dan dikunci. Bibir kelu melafazkan kata-kata. Apatah lagi tangan seolah-olah terikat untuk menaip kekunci telefon menyatakan rasa sayang padaku. Percayalah. Sesungguhnya diaseperti telah diperbodohkan. Apatah lagi diguna-gunakan. Dalam istilah lain dia telah dijampi agar melupakan aku. Kerana itulah dengan mudah dia melangkah pergi.

Ya, aku percaya dia telah dijampikan. Buktinya dia tetap setia pada insan yang curang kepadanya. Dia juga telah dengan sanggup dan rela berkongsi kasih sayang dengan orang-orang lain yang menjadi skandal manusia durjana itu. Hari ini mungkin dia bersama buah hati barunya. Tapi bagaimana dengan kelmarin, semalam atau hari esok??? Siapa pula yang telah dan akan bersama kekasih barunya itu? Aku pasti dia tahu. Aku juga yakin dia mengerti dan faham. Tapi dia hanya mampu tunduk dan seolah-olah akur pada kesumbangan itu.

Sedang aku menghantar sms kepadanya yang aku tahu takkan berjawab, tiba-tiba aku tersentak apabila tiba-tiba telefon ku berbunyi. Aku pun menekan punat accept dan tiba-tiba terdengar suara itu…

“Ko boleh diam tak” – Jerit manusia jahat yang telah merampas dia daripadaku.

“Boleh. Tapi aku tak cakap dengan kau. Aku cakap dengan kekasih aku – Jawab aku dengan nada biasa.


Sungguh dengan mudah dia seperti diperbodohkan dan dijampi. Kerana dengan tega telah dia izinkan manusia durjana itu memaki aku. Tapi aku tak pernah gentar. Aku tak pernah takut. Bukan aku yang patut takut. Bukan aku yang patut gentar. Sepatutnya manusia durjana itu yang harus gentar dan takut kerana kecurangannya telah aku ungkit dan aku ketahui. Betapa bodohnya dia. Sungguh dia tidak tahu dunia orang-orang seperti kita ini hanya kecil. Terlalu kecil. Tolonglah… Sedarlah… Bangkai gajah manakan boleh ditutup dengan tudung saji wahai manusia durjana. Kau faham itu?

Dengan datangnya tanggal 21 ini sebagai penutup Bulan Syaaban dan permulaan Ramadhan, aku mengangkat doa pada Yang Maha Pencipta. Ya Rabbi Tuhan Sekalian Alam. Aku mohon andai telah dia diperbodohkan oleh manusia jahat dan jelik yang kini dia panggil kekasih itu, selamatkanlah dia. Aku redha andai telah dia diperbodohkan dan dijampi agar melupakan aku dari hatinya. Tetapi aku minta agar janganlah sekali-kali dia melupakan ibunya yang berada di kampung, apatah lagi pada pelajarannya. Aku mohon agar kalau benar telah dia diperbodohkan dan dijampi, mohon supaya cepat-cepat dia tersedar dan kembali ke alam nyata, hidup seperti dahulu. Amin Ya Rabbal Alamin.

Jika B membaca coretan ini. Ayang minta agar B memohon petunjuk dari Rabbul Izzati Tuhan Sekalian Alam. Duduklah didepan sejadah. Bertafakurlah untuk seketika. Bermunajatlah pada yang Maha Pencipta. Renunglah jauh-jauh ke dalam diri. Tanyalah diri B apa yang diinginkan dalam hidup. Dan imbas kembali apa yang telah B dapat dan B tinggalkan. Sesungguhnya kasih sayang dari ayang bukan datang dari mantera atau jampi. Kasih sayang ayang tertanam dalam lubuk hati. Kenanglah sayang. Keikhlasan dan kejujuran itu teramat penting dalam perhubungan. Takkan mudah cinta seperti ini untuk B cari. Kembalilah kepada sayangmu ini. Ayang tetap setia menanti.

B, ayang sayang B… Muahhh…

Thursday, August 20, 2009

Tabahnya Aku Menunggumu...

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang...

Aku masih di sini.Masih tidak jemu-jemu menunggu dia kembali. Juga masih tidak jemu-jemu aku membaca sms-sms yang dihantarnya berulang kembali. Biarlah aku menghafal dan menghayati bait-bait yang telah dikirimnya. Biar aku mendalami apakah sebenarnya perasaannya padaku, dan apakah yang telah dilakukan. Takkan aku kambuskan walau sekali perasaan sayang ini padanya. Biarlah bercambah-bercambah dan terus bercambah.

Dalam linangan air mata, ditemani kesunyian yang tidak berpenghujung. Ku tuliskan bait-bait indah ini buatnya. Aku harapkan agar dia membaca madah ini dan mendalami maksud sebenar penantian dan kesabaran dalam menunggu kehadiran dia. Aku percaya dan yakin, sesungguhnya dia mengerti...



Ku Panggil Kau Pulang Sayang

Seketika itu hujan turun dikeheningan malam
Dalam lena ku terjaga kedinginan pada malam itu
Hujan yang turun seumpama tangisan yang berlinang membasahi pipiku
Tersentak dilubuk hatiku mengenang kekasihku
Kekasih yang kian berubah jauh dari sangkaanku

Betapa hati ini pedih kerana terluka dengan lafaz cinta nya dulu yang penuh kepura-puraan
Mudah kekasihku itu berubah arah berpaling dariku
Apakah khilaf yang ku lakukan sehingga diperbuat demikian
Sehingga sanggup hati ini dilukai oleh insan yang amat ku sayangi dan cintai

Ya Rabbi betapa lukanya kesakitan yang ku alami ini
Apakah salahku?
Mengapa kekasihku itu tidak seperti dahulu
Mengapa kau mengabaikan diriku ini
Mana letaknya janji yang pernah kau taburkan dulu padaku sewaktu kita bersama membina sebuah cinta sejati?
Mana letaknya janji sumpah setia yang kau angkatkan padaku sewaktu kita bersama melayari bahtera kebahagiaan?

Sayangku...
Semenjak kau berubah dunia ini kurasakan kelam
Tiada guna rasanya aku teruskan hidup tanpa mu kekasihku
Tiada lagi cahaya yang mampu menyinari hatiku selain kekasihku yang ku puja
Mengapa kau terus berubah dan tinggalkan aku sendirian?
Aku amat perlukan cinta dan kasihmu itu
Tiada cinta yang lain dapat kuterima selain cinta darimu kekasihku

Aku merayu padamu kekasihku janganlah kau menyusuk kelukaan ini
Aku tidak mampu kehilanganmu walau sesaat pun
Seandainya kau tahu aku terlalu mencintaimu sepenuh hatiku
Dan tiada siapa yang mampu mengganti tempatmu itu
Walaupun dirimu telah meninggalkan ku aku tetap berdoa pada yang Maha Kuasa
Agar suatu saat aku dan dirimu bersama semula
Membina sebuah cinta sejati yang kita janjikan dahulu

Dan tinggal sendirian aku disini menantimu
Aku pasti kekasihku itu akan pulang kepangkuanku
Walaupun telah kau taburkan luka pada hatiku ini sayang
Cinta ku tetap tidak akan berubah
Percayalah sayang.....Cintaku hanya untukmu sahaja
Kerana pernah kau berjanji akan mencintaiku untuk selamanya
Dan takkan melangkah pergi meninggalkan aku

Wahai kekasih, teman dan sahabat
Aku akan menunggu kepulanganmu itu
Aku pasti dan yakin kau tetap akan kembali
Aku sentiasa menanti kepulanganmu itu sehingga nafas terakhir

Pulanglah kekasihku
Betapa sepi dan sunyi hidup yang kulalui tanpa nafasmu disisiku
Betapa menderitanya hidup ini
Cukuplah penyeksaan yang telah ku lalui ini
Aku tetap tabah menunggu mu sayang

Andai B membaca coretan ini... Langkahkan lah kakimu ini ke sini... Menuju kepada sayangmu ini, kekasih yang selama ini B cintai...

Ayang sayang B sampai bila-bila... Muahhh...

Tuesday, August 18, 2009

Tersenyum Aku...

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang...

Hari ini aku tersenyum. Hari ini aku telah ketawa. Hari ini telah melakarkan saat kegembiraan dalam catatan hidupku. Sungguh kegembiraan yang aku rasakan pada hari ini bukan lah sesuatu yang dibuat-buat atau direka-reka. Sungguh kegembiraan bercampur dengan air mata mengalir telah hadir dengan tiba-tiba. Sungguh insan yang selama ini telah membuatkan hariku ceria bagai waktu dahulu telah menghubungi. Betapa bahagianya aku...

Mana mungkin tidak aku gembira? Sms yang ku hantar selama ini akhirnya mendapat balasan. Dia telah mengirimkan sms kepadaku hari ini meluahkan sesuatu. Meluahkan rasa yang sama seperti aku. Tetapi kemudiannya telah dengan bertubi-tubi dia tetap menuduh dan menyalahkan aku. Katanya akulah punca terjadinya perpisahan ini. Katanya kerana akulah dia melangkah pergi. Katanya aku penyebab segalanya.

Bermula dengan mesej rindu yang ku hantar padanya pada awal pagi. Aku minta agar dia tak pernah lupa untuk mengingati aku dan agar setiap nafas yang dihelanya hanya untuk aku. Sungguh aku rindu padanya yang dulu setiap hari aku jumpa dan kucup. Namun hingga hari ini hanya gambar-gambar dan kiriman-kiriman sms lalu yang menjadi peneman rinduku padanya. Sungguh pada malam tadinya aku rindu sangat-sangat pada dia. Percayalah sayang, rindu ini bukan mainan.

“B rindu kat ayang gak malam tadi. Tapi apa kan daya. B tak mampu menempuh semua ini. Mungkin suatu hari nanti ada jodoh kita kot. Semua orang dah tahu. So, kalau kita bersama semula pasti orang pandang serong.”
-18 Ogos, 12.16pm

Sungguh dia mengakui rindu teramat padaku. Sungguh benar selama ini kami saling merindu. Tetapi jelasnya tidak dia mampu menempuh semua ini. Memang benar tidak dia mampu, telah dia rosakkan segalanya. Telah dia punahkan kepercayaan yang telah aku berikan padanya. Telah dia pinta dan mohon agar aku membataskan pergaulanku. Sayang, dia yang telah menidakkan segalanya. Sayang dia yang telah menghancurkan segalanya. dan masih penuh ego dia sampaikan padaku dia tidak mampu.

Mungkin satu hari nanti ada jodoh untuk kita bersama katanya. Sayangku, tidakkah kau sedar lagi jodoh kita tetap kukuh. Tidak sekali pun jiwa ini tersasar. Tidak sekali pun hati ini lemah. Tidak sekali pun aku berhenti dari memanggil namamu sayang. Segalanya yang aku miliki adalah kepunyaanmu. Antara kita tiada batasan. Aku tahu kau masih menyayangi aku. Jodoh kita tetap ada. Untuk bertemu dengan jodohmu, kau harus pulang. Bukan bersama orang asing yang tidak pernah tahu dan tidak akan tahu apa itu KASIH, SAYANG dan CINTA.

Disini kita mulakan segalanya. Mengapa tidak kita teruskan jalan cerita cinta kita? Mengapa ada dia sebagai tembok batu penghalang? Mengapa jadikan dia sebagai alasan untuk kau melangkah pergi? Mengapa? Mengapa? Dan Mengapa? Apa istimewanya dia? Kenapa rela diri dizalimi hanya kerana butanya mata melihat poket tebal penuh berisi? Mengapa sanggup berkongsi kasih dengan orang kedua, ketiga, keempat, kelima atau berapa puluh lagi? Mengapa sanggup menutup mata bila kecurangan telah nampak di depan mata? Kenapa rela diri dianayai? Jawablah sayang… Carilah jawapan dalam diri sendiri. Kau tuan yang beraja dihati.

Sayangku, apapun yang terjadi antara kita… Semuanya adalah satu catatan luka insan bercinta. Belum terlewat untuk mengolek perahu mudik ke hulu. Sayangmu ini setia menunggu. Tidak akan sesekali aku biarkan kau derita. Sekali pun takkan ku biarkan kau bersedih. Cintaku ini tiada perkongsian. Cintaku ini mutlak untukmu. Hargailah kesetiaan ku ini. Hargailah kejujuran yang sedia ada. Semaikanlah kasih sayang kita. Selamanya kitakan bahagia.

B, terima kasih atas rindu yang bersarang di hati B. Terima kasih kerana mengingati ayang, insan yang B sayangi ini. Terima kasih atas kiriman sms penawar rindu. Terima kasih menjadikan hari ayang ceria. Terima kasih juga kerana tidak pernah lupa pada ayang. Terima kasih kerana membuatkan sayangmu ini tersenyum walau untuk seketika cuma. B, jika malam-malam nan syahdu B tiba-tiba teringat dan rindu pada buah hatimu ini, pandanglah pada bintang yang bertaburan di langit. Disana pasti akan B lihat wajah ayang. Jika terus-terusan B rindukan ayang, lihatlah gambar ayang yang B simpan. Jika masih rindu dan tidak tertahan, pulanglah ke rumah bertemu dengan ayang. Ayang setia menunggu B pulang.

B, rindu menguatkan lagi cinta kita… Rindu membuatkan kita dekat… Rindu membawa hatimu ke dalam hatiku… Pulanglah sayang… Pasti rindumu itu akan terubat nanti.

Ayang sayang B… Muahhh…

Monday, August 17, 2009

Cubalah Untuk Setia...

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang...

Apalah maumu kasih, kau pilih diriku di dalam hidupmu
Nyatanya kulihat ini, tak bisa kau coba untuk setia
Sudah cukuplah sudah, ku memberikan waktu
Kau selalu tak bisa mencoba untuk setia...

- Kris Dayanti (Cobalah Untuk Setia)

Bait-bait lagu di atas diambil dari lirik lagu Kris Dayanti – Cobalah Untuk Setia. Ya, tidak perlu diajar kepada aku bagaimana untuk setia dan setia pada pasangan. Aku telah melaksanakannya sebaik mungkin. Telah aku cuba untuk setia. Telah aku tutup mata dari melihat yang lain. Bersamanya, tidak aku ingin mencintai insan lain. Aku telah benar-benar setia kerana aku hanya mencintai dia. Dia insan yang telah memberikan cahaya dalam hidupku.

Kesetiaan yang telah aku tunjukkan kepadanya telah benar-benar teruji. Semasa bersama dia mahupun selepas dia melangkah pergi aku masih setia menunggu dia. Aku bukan manusia yang dengan mudah memberikan hati kepada yang lain. Aku telah berjanji kepadanya untuk terus menunggu dan menunggu tanpa sedikit pun aku jemu.

Kesetiaanku padanya telah sebati dengan diri. Telah menjadi sebahagian dari hidupku. Semasa kami tinggal bersama pun, telah aku serahkan layanan yang tulus ikhlas kepadanya. Aku bukanlah jenis manusia yang tega melayan cinta orang lain. Yang memanggil orang lain datang ke rumah mahupun selingkuh di belakangnya. Sungguh aku tidak pernah. Selama bersamanya, hanya dia yang telah kuserahkan segala-galanya. Sungguh aku setia hanya kepadanya.

Mengapa apabila aku yang begitu lama telah mendapat kenikmatan dunia mampu untuk setia dan mengunci jiwa dari melakukan onar di belakangnya? Kenapa dia yang baru mula mengenal dunia tidak dapat menahan gelojak nafsu? Kenapa dia yang telah dengan linangan air mata meminta aku untuk setia tapi melakukan sebaliknya? Sungguh manusia terlalu cepat lupa. Sungguh dia terlalu cepat lupa. Sungguh dia terlalu cepat terpesona dengan keasyikan dunia.

Aku hanya meminta agar kesetiaan yang telah aku pamerkan selama ini dihargai. Sungguh tak ingin aku pada yang lain. Aku tetap setia padanya. Aku tetap tidak akan curang kepadanya. Kerana aku terlalu menyayangi dirinya. Tiada insan lain yang dapat menggantikan tempat dia dalam hati ini. Aku terlalu mengharapkan kesetiaan darinya juga. Semoga dia memahami apa tu setia yang telah aku berikan padanya.

Jika dia tiba-tiba terbuka untuk melihat coretan ini, aku harap dia mengerti erti setia. Erti kejujuran dan tidak mempermainkan. Apalah ertinya kasih sayang jika tidak ada kesetiaan dan kejujuran. Apa yang dia cari dalam hidup ini? Sungguh umurnya terlalu muda, langkahnya masih panjang, akalnya masih diduga. Sungguh aku takut dia dipermainkan oleh insan yang memanggilnya untuk melangkah pergi. Sungguh dia tidak melihat ke hadapan. Sungguh ketika dia melangkah pergi dari hidup ini dia telah tiba-tiba terhenti untuk berfikir.

B, Jika B membaca catatan luka ini, ayang minta B agar memahami dan mendalami erti kesetiaan dan kejujuran. Apa yang ingin B capai dalam hidup ini, dan apa yang selalu ingin B nanti dalam hidup ini harus benar-benar B ertikan dan beri makna. B, apalah makna sumpah, janji, cinta dan kasih jika tanpa kita sedari itu hanyalah sekadar manis bila bersama. Namun bila segalanya sudah diingkari, kesetiaan itu pasti akan hanya tinggal hampas dan debu-debu yang bertaburan.

B, ayang sayang B… Ayang tetap setia dan jujur pada B… Membiarkan B jatuh pun ayang tidak mahu, apatah lagi melihat B dilukai… Pulanglah sayang.. Ayang setia menunggu B pulang… Ayang sayang B... Muahhh…

Saturday, August 15, 2009

Tuduhan Demi Tuduhan...

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang…

Siang melabuhkan tirai. Menerima kedatangan malam yang menjadikan hidup insan seperti aku sunyidan deritaa. Siang malam bertukar tidak kenal jemu. Begitu juga aku tetap menanti dia datang dan memanggil nama aku. Namun tidak kunjung tiba juga susuk tubuh itu. Susuk tubuh insan yang amat ku sayangi dan sentiasa dalam ingatan.

Aku cuba menyibukkan diri dengan tugasan-tugasan yang perlu diselesaikan. Namun begitu tidak pernah terhenti hati ini untuk memikirkannya. Betapa kenangan yang tersimpan kukuh ini cuba aku lipat kemas dan ku simpan di sudut hati. Bila ia terbuka tiba-tiba juga air mata ini pantas mengalir. Kerinduan ini tidak tertahan. Lebih-lebih lagi mengenangkan dia yang kini seperti menderita. Aku tahu dia sedang merana. Aku dapat merasakannya. Kami mempunyai naluri yang sama. Aku pun tahu dia terluka.

Kiriman-kiriman sms tetap ku hantar dengan tidak ada rasa jemu apatah lagi putus asa. Ku harapkan dia membaca dan menghayati isi hatiku itu. Biarlah aku bagai orang patah hati. Aku hanya ingin melihat dia bahagia. Aku tak mahu sesekali dia menderita. Dulu telah aku lindungkan dia dengan payung sutera. Apatah lagi cuba ku apungkan awan melindunginya dari panas dan hujan. Sebaik mungkin telah aku sembahkan padanya kesempurnaan dalam hidup. Tapi terlalu buta dia untuk melihat itu semua. Dengan tega juga telah dia palingkan muka dari melihat ku lagi.

Aku tahu tuduhan yang dilemparkan kepadaku agak berat. Katanya aku adalah manusia yang paling jahat dan keji yang pernah dia jumpa. Aku juga yang telah membuatkan kerungsingan hatinya. Sungguh dia bercakap tanpa melihat ke belakang. Sungguh dia bercakap tanpa berfikir (Bukankah telah banyak kali ayang nasihatkan B untuk berfikir). Tidak langsung dia sedar yang dialah orang yang mula-mula mereka cerita memburukkan aku. Dia juga yang telah menjaja cerita palsu untuk menutup kesalahannya. Dia yang mula-mula menuduh aku. Hanya ingin aku bertanya sejenak, apakah kesalahan besar yang telah ku lakukan padanya???


Andai pergi tanpa berita dari rumah insan yang telah menyayangimu itu bukan satu kesalahan aku terima. Andai berlalu melangkah pergi tanpa mengucapkan terima kasih adalah bukan satu kesalahan pun aku terima. Andai cerita rekaannya pada saudara maranya tentang keburukan aku itu betul pun aku sedia untuk terima. Juga pada keluarnya dia tanpa pengetahuanku dan lari meninggalkan aku tanpa berita itu adalah bukan satu kesalahan malahan satu tindakan betul pun aku terima. Semuanya aku terima. Aku redha dengan apa yang ingin dia lemparkan. Dia yang telah merancang ini semua. Aku sebenarnya adalah mangsa. Aku insan yang dizalimi. Aku manusia yang ditindas.


Pernahkah dia merujuk atau bertanya pada yang arif??? Apa yang dimaksudkan dengan kasih sayang??? Apa yang dimaksudkan dengan perlindungan??? Apa yang dimaksudkan dengan pengorbanan??? Dan apa pula yang dimaksudkan dengan godaaan?? Tanyalah, usah kau malu sayangku. Andai kau malu untuk bertanya, nescaya kelak tersesat kau entah ke mana. Dan apabila telah menyimpang dari tujuan asal, kembalilah segera ke pangkal jalan. Susurilah jalan yang pernah kau lalui dahulu. Pasti kau temui damai abadi seperti hari semalam bersamaku.

Andai dia tiba-tiba tergerak untuk membaca coretan ini. Aku minta agar dia melihat kembali tuduhan yang telah dilemparkan kepada aku. Juga atas fitnah yang telah ditabur. Aku tidak sesekali ingin bermusuh dengan sesiapa. Aku hanya ingin kasih sayang. Aku percaya dia juga begitu. Usahlah terlalu ego mendabik dada. Semuanya hanya pinjaman. Beringatlah ketika muda. Kelak berjaya di hari muka.

B, ayang tetap menunggu perkataan MAAF dari B. Perhalusi dan telitilah setiap perkara. Leraikan simpulan yang telah tercipta. Jernihkanlah kekeruhan yang berlaku. Ayang yakin kita pasti bersatu. Usahlah biarkan ayang terlalu lama menanggung rindu. Kerana pada rindu ayang ini, kerinduan B pada ayang juga sebenarnya sedang tersemat. Cuma bibir B terlalu berat untuk menuturkannya. B, gerak hati ini tahu B dalam kesusahan dan menderita. Jangan biarkan ianya memakan diri. Perjalanan B masih panjang. Tempuhilah segalanya itu dengan insan yang benar-benar memahamimu ini. Insan ini bersedia menerimamu kembali B. Percayalah…

B, ayang sayang B… Pulanglah… Ayang sentiasa menanti B untuk memeluk diri ini…Muahhh…

Thursday, August 13, 2009

Angka 13...

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang...

13 Ogos 2009. Detik yang menyaksikan sebulan telah dia pergi meninggalkan aku. Air mata yang telah mengalir masih berterusan mengalir. Detik yang dinanti belum kunjung tiba. Aku yakin dia mengingati detik ini sebulan yang lalu. Detik yang menjadi kali terakhir dia tinggalkan aku.

Suram mewarna hari. Tidak tahu dan barangkali sudah putus idea untuk mencurahkan apa yang terpendam di hati. Aku jadi benci pada angka 13. Aku jadi marah dan geram pada angka 13. Angka 13 tidak menjanjikan kebahagian. Malah dengan rakus meragut kebahagiaan itu. Angka 13 seolah-olah cemburu melihat kebahagiaan aku. aku marah pada angka 13. Aku tak mahu melihat angka 13 lagi.

Tapi siapa lah angka 13. Hanya sekadar hari yang telah memberikan catatan pilu. Yang telam memalitkan kisah duka dalam diari hidup. Jangan lah sesekali mempersalahkan angka 13. Angka 13 hanya hadir sebagai satu hari yang mencatatkan bahawa dia telah melangkah pergi meninggalkan aku.

Biar ku hamburkan perasaan ku pada bantal. Biar aku menangis malam ini. Biar aku menangis sepuasnya... Dan berharap agar dia mengerti. Apa sebenarnya yang bermain dalam fikiranku ini.

Buat angka 13. Cepat-cepatlah kau pergi. Tidak aku ingin menatap wajahmu lagi.
Buat yang tersayang. Cepat-cepatlah kembali. Aku ingin tetap menatap wajahmu kini.

Ayang sayang B... Muahhh...

Wednesday, August 12, 2009

Ketika Puisi Kehilangan Makna...

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang...

Ketika sedang duduk-duduk merintih dan mengenang nasib diri. Telah ku tuliskan puisi ini untuk dia. Dia yang dulu, kini dan sampai bila-bila pun tetap aku sayangi. Nafas ini takkan berhenti untuk menyebut namanya. Sayangku tetap mekar kepadanya sampai bila-bila. Pintaku agar hati dan perasaan ini tidak dimainkan lagi. Hargailah kesetiaan yang telah kutunjukkan ini kepadanya. Aku yakin dia mengerti.



Ketika Puisi Kehilangan Makna

Ketika puisi telah kehilangan makna
Di hujung hari pada suatu senja yang kedinginan
Hanya terdengar suara angin yang bagai berlari ke hulu
Mencari muara tempat cinta berlabuh.
Suatu hari.
Saat langit kehabisan warna dan yang tinggal hanyalah warna hitam memekat
Menyisihkan purnama sendirian di hujung cakerawala merajuk sepi tanpa batas.
Tanpa ruang, atau waktu.
Dan kita akan memandang hitam di atas perasaan yang sempat tertinggal sebelum waktu
Sempat menyeret nurani ke satu tempat tanpa udara
Hampa.
Yang tinggal hanyalah sebuah kekosongan tanpa kata-kata yang tersekat di kerongkong
Kemana perginya erti itu ketika kita sudah jauh-jauh mencari?
Meniti tapak-tapak tanpa akhir yang hanya menghantarkan kita ke dua alur tanpa hujung di mana suatu saat
Bibir akan terpaut kembali
Dan kita bisa bersatu semula
Aku hamper habis akan kata-kata
Kerana yang merangkai puisi telah kehilangan makna
Ketika kau pun baragkali sudah makin menamatkan kisah-kisah cinta kita
Dan yang tersisa tinggal ketiadaan.
Menyisihkan rindu yang berpanjangan.
Tapi sampai bila? Kerinduan itu pasti akan lambat laun menghantui jiwa.

B, pulanglah... Jangan biarkan sayangmu ini sendirian begini. Singgahkan lelahmu dibahuku, pasti akan kau temui kebahagiaan abadi.

Ayang sayang B... Muahhh...

Tuesday, August 11, 2009

Sendirian Tidak Berteman..

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang...

Sendirian tidak berteman. Ya, aku masih sendiri. Sendiri merenung nasib diri. Apatah lagi sendirian di ruang ini menunggu dia kembali. Namun bayangnya masih tidak kunjung tiba. Tergamak dia terus tidak menghubungi aku. Apatah lagi menjenguk aku disini. Fikiranku yang hanya mengingati dia tidak langsung dia fikirkan. Sungguh tidak pernah terfikir aku, ini semua akan terjadi pada episod cinta kali ini.

Sebenarnya punca kemarahan dan tujuan dia melangkah pergi tidak aku pasti. Apakah telah dia dapat gading bertuah hingga tanduk yang seadanya ini telah dilupakan? Atau adakah telah diibaratkan aku kini sebagai malukut ditepian gantang. Nampak tak nampak. Ada tak ada. Baginya lebih baik berjauhan. Lebih baik tidak langsung menghubungi. Lebih baik terus diam. Sungguh hatinya keras dan kering. Namun hati jenis apa yang dia miliki pun tidak aku tahu.

Perjalanan hidupnya terlalu jauh. Banyak yang dicita-citakannya masih belum kesampaian. Betapa mudah dia menumpang senang orang asing. Betapa mudah dia mengikut telunjuk orang asing. Cepat sungguh dia termakan pujukan dan kemahuan orang asing itu. Mungkin kalimah “be strong” yang telah seseorang lafazkannya menjadikan dia lemah dan cair?

Aku tak tahu sampai bila dia tega melupakan aku. Aku tahu hatinya berkecamuk antara kekasih baru dan rindu pada aku. Aku hanya ingin dia kembali. Sedarlah sayang, apa yang terbentang didepan mata adalah milik orang, carilah kejayaanmu sendiri. Berusahalah dan belajar. Renungkan apa yang kau cari ketika kau kemari. Fikirkan masa silammu yang penuh kepayahan. Jangan cepat berubah. Takut nanti tuah yang kau kejar hilang entah ke mana, masa depanmu gelap, hitam dan memekat menanti didepan mata.

Andai dia membaca coretan ini. Aku minta dia merenung dan terus merenung dengan mata hati. Renunglah apa yang telah dia dapat pada hari ini. Renungkanlah apa yang telah dia tinggalkan semalam. Renungkanlah apa yang sedang dia kejar nanti. Renungkanlah segala yang telah dia janjikan. Ingatlah sayang, yang pipih takkan datang melayang, yang bulat takkan datang bergolek.

B, carilah kejayaan abadi. Tidak ada erti senang andai hanya menumpang sesuatu yang menjadi milik orang lain. Takkan dapat kepuasan andai kaca yang B puja sedang intan telah pun B buang ke tepi. Tunduklah ke bumi bila berjalan. Usah terlalu angkuh dan sombong. Ayang takut bila B jatuh ke bumi, sakitnya membawa mati. Ayang takut andai B tersungkur ke bawah, deritanya membuatkan B kurang upaya. Fikir-fikirkanlah sayang.

B, ayang tetap setia menunggu disini.... Lunaskan janji semalam... Kotakan setiap kata-kata yang pernah terlafaz... Kemaafan itu sebenarnya adalah dendam terindah... Usah malu untuk melafazkan maaf... Pulanglah sayang, ayang tetap kukuh menanti disini...

Ayang sayang B... Muahhh...

Monday, August 10, 2009

100% Percaya...

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang...

Sendiri dalam kelukaan. Apa lagi yang aku mampu sekadar membilang kalendar menghitung berapa lama telah dia pergi meninggalkan aku. Aku jadi dekat dengan hari. Aku jadi rapat dengan waktu. Walau esokku tidak menjanjikan apa-apa kedamaian atau ketenangan jiwa, aku tetap sabar menanti. Ku yakin ada sinar cahaya terang di ufuk sana yang bisa membawa dia hadir kembali dalam hidup. Cahaya itu agak samar dan tenggelam. Namun aku terus mengejarnya dan takkan membiarkan ianya hilang ditelan kepekatan malam.

Perjalanan hidupku telah mencatatkan sebuah catatan hitam. Saat dia melangkah pergi dan tidak ingin menoleh ke belakang lagi. Tiada ucapan terima kasih yang keluar dari mulut. Apatah lagi saat perpisahan itu tidak dia hadiahkan aku dengan sebuah ciuman. Langsung dia tidak muncul dan tidak lagi hadir di depan mata. Seolah-olah telah dia lupakan aku dan kuburkan aku tanpa nisan. Dia seboleh-boleh tidak lagi ingin memanggil namaku, apatah lagi menatap wajahku untuk kesekian kalinya.


Sungguh licik manusia. Kucing pun pandai mengenal tuan, apatah lagi burung pun pandai membalas jasa. Tetapi dia tidak, langsung tidak ada perkhabaran atau ucapan apa pun yang dilontarkan. Mulutnya bagai terkunci rapi. Terkunci atau dikunci pun aku tidak tahu. Kakinya seolah dirantai. Dirantai atau terantai itu pun aku tidak tahu. Apa yang aku tahu dia diam. Dia bungkam. Dia sepi. Dia seperti mati tidak berkubur. Hilang tidak meninggalkan jejak.

“Sayang tolong ek percaya 100% kat B. Kita tapis pergaulan kita dengan orang lain yang boleh menjauhkan perhubungan kita. Saya sayang awak”
-4 Oktober…

Iya memang benar telah aku percaya kepadanya. Juga telah aku tapis pergaulan dengan orang lain yang boleh membuatkan cintaku beralih arah. Aku mengaku aku begitu setia. Telah ku tutup mata ini dari memandang yang lain. Apatah lagi mengunci mati hati untuk menerima orang lain. Aku pakukan diri aku padanya agar kasih sayang kami mekar dan bersemi selamanya. Telah setia aku pada permintaannya yang bagai angkuh dan sombong memberi amaran pada aku. Aku boleh setia!!! Tapi kenapa tidak dia??? Kenapa dengan mudah dia melupakan apa yang telah diucapkannya???

Mengapa tidak dia tapis pergaulannya? Mengapa tidak dia halang dirinya? Mengapa bisa dia menjauhkan diri dari perhubungan kami? Aku bagai dihukum mati. Dihukum bunuh dengan kejam atas kesalahan yang tidak pernah aku lakukan. Mengapa diletakkan aku dipenjara begini? Aku telah terjerat. Aku dilukai dan terus-terusan tersiksa. Kenapa mesti aku? Aku tidak pernah berjanji yang bukan-bukan. Kalau ada pun janji yang telah dilafazkan, aku hanya tidak akan berpaling ke lain. Aku telah cukup dengan dia. aku tidak pernah tamak dalam mencari cinta. aku sudah mempunyai dia. Cukup. Nah, itu semua telah aku buktikan. Kenapa harus dicemari janji setia itu? Kenapa dengan mudah dia terjerat??? Kenapa dia bisa menutup mata dari memandang aku???

Andai dia membaca coretan ini, aku minta dia merenung dan terus berfikir (jangan pernah berhenti berfikir sayang). Agar dapat dikotakan segala janjinya. Agar dapat dia tunaikan permintaannya yang berbagai-bagai dan bervariasi itu kepada aku. Kerana aku dengan kukuh berdiri atas janji yang telah dilafazkannya itu. Tidak sesekali aku jatuh kerana tragedi ini. Membiarkan cintaku rapuh pun tidak mungkin. Apatah lagi membiarkannya layu dan terkulai begitu saja.

B, pulanglah ke pangkuan insan yang telah kau lafazkan janji keramat bersulam sumpah setia. B, datanglah kepada kesayanganmu ini bagai waktu dahulu. B, percayalah atas bulatnya dunia ini. B, ingatlah kadang kita di atas, apatah lagi terkadang berada di bawah. B, ingatlah tangan yang pernah memimpinmu. B, ingatlah tali yang pernah menyelamatkanmu. B ingatlah pada selimut tidur yang pernah membalutimu. Apatah lagi pada alas tidur yang pernah melapik dirimu. Itu semua Ayang B, itu semua adalah insan ini B. Itu semua adalah kekasih yang pernah kau panggil sayang ini…

B, kembalilah… Kembali ke dalam hati agar dapat ayang tidur lena dan berdengkur dalam laguan puisi cintamu. B, ayang rindu pangggilan manja apatah lagi suara gemersikmu... B, ayang sendirian disini. Ayang sayang B… Muahhh…

Sunday, August 9, 2009

Mengapa Aku Kau Tinggalkan?

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang...

Hari begitu cerah untuk aku memulakan hidup pada hari ini. Secerah wajah ceria matahari pagi dengan cahaya indah berseri. Namun mendung dan gerhana dalam hati membuatkan jiwa ini lara dan sayu. Masih terpempan aku mengenangkan kisah manis cinta yang hilang dan terbang begitu sahaja. Persoalan demi persoalan menerjah minda. Mengapa aku ditinggalkan? Mengapa dia pergi? Mengapa aku dikecewakan? Mengapa aku dihancuri? Mengapa aku disakiti? Mengapa aku dilukakan? Mengapa dia melangkah pergi? Aku buntu dengan soalan-soalan yang tercipta dalam benak.

Seringkali air mata yang tumpah menangisi hari-hariku. Sejak dia melangkah pergi, tidak ada hari yang air mata ini tidak tumpah membasahi pipi. Dalam setiap doa, zikir dan munajat lidah tetap basah memanggil nama dia untuk pulang. Meratap hiba dalam kepiluan kerna kehilangan sesuatu yang amat berharga dalam hidup ini. Namun dia tetap angkuh membisu seribu bahasa.

Siapalah yang bisa ketawa pada hari ini? Siapa juga yang mampu tersenyum? Riang ria ketawa dan senyumku telah dengan rakus ditarik. Kehilangannya tanpa berita. Hanya meninggalkan aku dengan kenangan lalu. Teman-teman dengan mudah dan lembut menuturkan agar aku melupakan dia. Mana mungkin? Diri ini telah sebati apatah lagi telah larut dengan dia disisi. Aku tak betah keseorangan begini.

Sungguh jika ada kesilapanku, tuturkanlah. Jika ada yang tidak elok pada pandangan mata, perbetulkanlah. Aku sudah lali ditegur. Aku bukan dilahirkan sebagai makhluk Tuhan paling sempurna. Aku cuba mengatasi kelemahanku agar tidak tertonjol didepan dia. Aku ingin dia melihat aku tanpa rasa sangsi dan khuatir. Aku tidak mahu lemah begini. Cintaku tetap subur untuk dia. Selamanya terus kusiram dan ku baja. Bagaimana pula dengan dia? Mengapa dengan mudah beralih arah?

Jika dia membaca coretan ini, pulanglah. Aku minta agar dia kembali. Tidak ada apa yang ingin dirajukkan. Tidak ada juga apa-apa yang perlu dimarahkan. Aku sebegini adanya. Dia lebih mengenal aku. Dia lebih tahu isi hatiku. Dia lebih memahami hati budiku. Mana mungkin dengan pantas aku menjadi orang asing disisinya??? Mana mungkin dengan cepat dia melupakan aku???

B, pulanglah… Ayang rindu khabar berita darimu disana. Janganlah berjalan kedepan dengan menutup mata. Usah melihat tanpa merujuk kepada mata hati. Kelak keputusan B yang drastik itu memakan diri. B, insan yang ingin kau berjaya ini hanya ingin kau kembali. Usahlah ragui atas cinta yang telah dan akan diberi. Selamanya kasih untuk B ini abadi dihati ayang.

B, ayang sayang B… Kembalilah….Ayang menanti B pulang… Muahhh…