Sunday, August 9, 2009

Mengapa Aku Kau Tinggalkan?

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang...

Hari begitu cerah untuk aku memulakan hidup pada hari ini. Secerah wajah ceria matahari pagi dengan cahaya indah berseri. Namun mendung dan gerhana dalam hati membuatkan jiwa ini lara dan sayu. Masih terpempan aku mengenangkan kisah manis cinta yang hilang dan terbang begitu sahaja. Persoalan demi persoalan menerjah minda. Mengapa aku ditinggalkan? Mengapa dia pergi? Mengapa aku dikecewakan? Mengapa aku dihancuri? Mengapa aku disakiti? Mengapa aku dilukakan? Mengapa dia melangkah pergi? Aku buntu dengan soalan-soalan yang tercipta dalam benak.

Seringkali air mata yang tumpah menangisi hari-hariku. Sejak dia melangkah pergi, tidak ada hari yang air mata ini tidak tumpah membasahi pipi. Dalam setiap doa, zikir dan munajat lidah tetap basah memanggil nama dia untuk pulang. Meratap hiba dalam kepiluan kerna kehilangan sesuatu yang amat berharga dalam hidup ini. Namun dia tetap angkuh membisu seribu bahasa.

Siapalah yang bisa ketawa pada hari ini? Siapa juga yang mampu tersenyum? Riang ria ketawa dan senyumku telah dengan rakus ditarik. Kehilangannya tanpa berita. Hanya meninggalkan aku dengan kenangan lalu. Teman-teman dengan mudah dan lembut menuturkan agar aku melupakan dia. Mana mungkin? Diri ini telah sebati apatah lagi telah larut dengan dia disisi. Aku tak betah keseorangan begini.

Sungguh jika ada kesilapanku, tuturkanlah. Jika ada yang tidak elok pada pandangan mata, perbetulkanlah. Aku sudah lali ditegur. Aku bukan dilahirkan sebagai makhluk Tuhan paling sempurna. Aku cuba mengatasi kelemahanku agar tidak tertonjol didepan dia. Aku ingin dia melihat aku tanpa rasa sangsi dan khuatir. Aku tidak mahu lemah begini. Cintaku tetap subur untuk dia. Selamanya terus kusiram dan ku baja. Bagaimana pula dengan dia? Mengapa dengan mudah beralih arah?

Jika dia membaca coretan ini, pulanglah. Aku minta agar dia kembali. Tidak ada apa yang ingin dirajukkan. Tidak ada juga apa-apa yang perlu dimarahkan. Aku sebegini adanya. Dia lebih mengenal aku. Dia lebih tahu isi hatiku. Dia lebih memahami hati budiku. Mana mungkin dengan pantas aku menjadi orang asing disisinya??? Mana mungkin dengan cepat dia melupakan aku???

B, pulanglah… Ayang rindu khabar berita darimu disana. Janganlah berjalan kedepan dengan menutup mata. Usah melihat tanpa merujuk kepada mata hati. Kelak keputusan B yang drastik itu memakan diri. B, insan yang ingin kau berjaya ini hanya ingin kau kembali. Usahlah ragui atas cinta yang telah dan akan diberi. Selamanya kasih untuk B ini abadi dihati ayang.

B, ayang sayang B… Kembalilah….Ayang menanti B pulang… Muahhh…

Friday, August 7, 2009

Memang Tuhan Sengaja...

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang.

Hari ini ku berwajah duka lagi. Teman-teman langsung terus-terusan memberikan kata-kata semangat dan nasihat yang bisa mengentalkan jiwa. Bibir hanya mampu mengucapkan patah hati. Hati ini telah benar-benar terguris dengan pemergian dia yang dengan tega sengaja melangkah pergi meninggalkan diri ini. Namun dengan wajah duka ini juga aku tak pernah berhenti mengharap dia.

Aku tahu dia juga mengingati dan merindui aku. Tapi hatinya yang telah dibelenggu dengan rasa amarah apatah lagi hasutan dan dombaan yang membuatkan dia kering hati tidak berperasaan mendiamkan diri. Aku tahu dia mengingati aku. Apatah lagi dalam diam-diam mengenang diri ini. Tapi betapa ego kelakiannya itu masih mencengkam diri. Entahlah, sampai bila harus dia senyap seperti ini pun tidak aku tahu. Aku hanya menantinya datang bagai waktu-waktu dahulu.

Seorang teman cuba menceriakan aku. Katanya ini urusan Maha Pencipta. Sudah ditentukan ini qada’ dan qadar yang datang untuk insa biasa seperti aku. Aku hanya mampu mengangguk. Siapalah dia untuk membicarakan tentang cintaku. Siapa juga dia yang tahu tentang betapa luluhnya hati ini sejak tidak bersua muka dengan kekasih hati. Aku teramat-amat merinduinya. Tidak malu aku mengakui bahawa diri ini tempang tanpanya. Ya Allah… Jangan sengaja hati ini di duga…

Sebenarnya insan
Memang Allah sengaja....
memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat menjadi penilai yg baik...

memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita sedar bahawa kita hanyalah makhluk yg sentiasa mengharapkan pertolongan ALLAH…

memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat KASIH SAYANG YANG TERBAIK, KHAS UNTUK DIRI KITA…

memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita sedar bahawa ALLAH MAHA PEMURAH & PENYAYANG kerana mengingatkan kita bahawa dia bukanlah pilihan yg hebat untuk kita dan kehidupan kita pada masa depan...

memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat mengutip pengalaman yg tak semua orang berpeluang…

memang ALLAH sengaja…

Buat dia yang dengan sengaja telah meninggalkan aku. Aku harap dia kembali dan hadir lagi dalam hidup ini. Bagiku dialah yang amat bererti. Sungguh tidak jemu aku menunggu dan terus menunggu. Ini kerana aku adalah pencinta yang setia dan tidak mengenal erti jemu dan susah.

B, andai terbaca sekilas lalu pada coretan dari hati ayang ini, ayang minta B kembalilah semula kepada insan ini yang benar-benar menyintaimu. Yang sentiasa menyintai B tanpa syarat dan peraturan. Yang dulu telah B pujuk rayu untuk menerima diri B. Yang dengan ikhlas menerima cinta B ketika diri B kesunyian dan keseorangan. Yang telah menjadikan hidup B seindah pelangi pada hujan pagi. Yang telah merubah hidup B menjadi manusia sempurna. Pulanglah sayang. Tak henti ayang memanggil B pulang.

Ayang sayang B… Muahhh…

Thursday, August 6, 2009

Siramilah Kasih Kita...

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang

Puisi ini ku dedikasi buat dia yang sentiasa aku sayangi.
Dia yang sentiasa dalam hati ini
Aku tahu dia tahu siapa dia.
Aku yakin dia mengerti....



Siramilah Kasih Kita

Dahulunya bunga bunga cinta
Kian subur dan menyusuk harum
Tetapi kini perlahan-lahan ia mulai layu
Tidak disiram dan dibaja

Sejak kau melangkah pergi
Serinya kelopak cinta ini
Kian hilang, kian hampa, kian sepi, kian beku
Meninggalkan cintaku yang mendalam terhadapmu

Ku disini terdiam membisu
Ketika dirimu meninggalkan diriku
Ku disini bagai terhenti nafas seketika
Ketika cinta pergi menghilang
Tegarkah aku hidup tanpamu?
Tegarkah kau hidup tanpaku?

Setiap langkahmu, setiap saat, setiap waktu, setiap detik
Diriku selalu membayangkan dirimu
Lantas kembali teringat kisah-kisah cinta semalam
Terkenang kenangan terindah dahulu
Tapi kini kau telah pergi
Tapi kini ku sepi
Tapi kini ku keseorangan
Tanpa cintamu
Tanpa kasih sayangmu
Tanpa gurau sendamu itu

Rasa ini selamanya akan kekal dalam diri
Betapa aku amat mencintaimu
Betapa aku lagi amat merinduimu

Pintaku
Kau pulang menyirami kelopak cinta ini
Yang kian terkulai dan layu
Usah biarkan kasih sayang ini hilang
Ditelan waktu yang panjang

B, pulanglah… Tak jemu aku menantimu pulang
Ayang sayang B… Muahhh

Wednesday, August 5, 2009

Jangan Tinggal Daku...

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang

Setiap hari tanpa jemu aku menghantar sms bertanya khabar dan berita. Juga kerap aku mengingatkan kepada dia tentang perkara yang perlu. Tidak lupa juga aku menagih simpati dan mengharap dia untuk kembali. Apatah lagi merayu dan mengharap. Aku tak pernah putus dari mengingatinya. Dia terlalu bererti untuk aku buang, apatah lagi untuk aku padam dalam ingatan ini. Kiriman-kiriman ku itu tidak aku tahu samada dia baca ataupun tidak. Ataupun samada dia baca dan lantas memadamkannya. Aku juga tidak tahu apakah ayat-ayat yang ku beri padanya menyentuh hatinya yang keras itu atau sekadar sampah baginya. Sungguh aku tidak tahu apa yang bermain di kotak fikirannya. Apa yang aku tahu dia tidak mahu menghubungiku lagi…

Sesungguhnya sering aku bertanya pada diri apakah salah dan silapku. Biarkanlah aku letakkan kesilapan itu pada diriku sendiri. Aku tidak mahu menjadi manusia yang ego dan dengan mudah mendabik dada mengatakan aku telah sempurna. Aku rela meletakkan diriku ke bawah. Siapalah aku, hanya insan biasa yang mengharap sedinar rasa cinta. Ingin berkolek di lautan kasih dengan dayung asmara. Namun tidak sampai aku ke seberang, lautan bergelora menenggelamkan kolekku, dayungku hanyut entah kemana dan aku karam dalam lautan ciptaan dia. Akhirnya sendiri terdampar di daratan kesepian. Betapa aku memerlukan pertolongan. Aku terdampar di pulau yang tandus dengan kasih sayang

Pun begitu dulu aku begitu gagah mengusung cinta ke mana pun aku pergi. Dengan rasa bangga dan penuh harapan aku tak jemu menghadap dia. Janji-janji yang dilafazkan bagai manis didepan mata. Janji yang tidak tertunai. Janji yang tidak terbayar. Apatah lagi janji yang hanya frasa yang keluar dari mulut. Begitupun aku tetap memegang janjiku padanya. Sungguh tidak sesekali akan aku duakan dia. Hatiku sudah tertutup untuk mengenal cinta. Yang ku mahukan hanyalah dia. Dia yang aku harapkan hadir didepan mata.



“Tido ek. Esok nak bangun awal. Sayang, jangan tinggalkan B ek. I love you so much sayang. Muahhh…
- 1 Oktober

Betapa keramatnya kata-kata yang dilafazkannya pada masa itu. Sungguh aku terpana dan terkaku bila dia mohon agar tidak ditinggalkan dia keseorangan. Aku jadi malu pada diri sendiri kerana permintaan itu datang dari seorang lelaki yang aku cintai. Aku menangis bila membaca sms nya itu padaku berulang kali kini. Sungguh tidak aku tinggalkan dia walau sejarak pun. Dia yang telah mencipta jurang dan akhirnya membiarkan aku sendirian disini. Dia yang telah mengkhianati janji yang dilafazkan sendiri. Dia juga yang dengan tega meninggalkan insan yang dimintanya agar selalu setia. Kebingungan aku waktu ini. Juga tidak putus-putus air mata ini mengalir bila mengenangkannya. Sungguh aku selalu menangis sendirian kini.

Andai dia membaca warkah berlagu pilu ini, renungkanlah janji-janji yang telah dilafazkannya dahulu. Jika benar apa yang diucapkan itu datang dari hati, aku pasti dia akan kembali. Jika tidak, manusia jenis apakah dia itu yang hanya pandai menabur janji. Percayalah balasan Maha Pencipta atas pengkhianatan itu pasti akan muncul. Entah esok, entah lusa. Entah diterbit matahari ataupun muncul wajah bulan. Entah seketika entah lama. Entahlah, hati ini tidak rela disakiti. Betapa aku mengharapkan dia pulang menunaikan janji yang telah diberi.

B, pulanglah menemani diri ini bagai hari semalam. Ingat lah insan yang telah kau rayu untuk menerima cintamu itu dahulu. Ingatlah pada insan yang telah kau tabur janji manis dan kata puitis. Juga pada insan ini yang pernah melindungi apatah lagi membelaimu dengan manja ibarat seorang bayi yang kehilangan ibunya. Insan ini jiwanya lara. Insan ini hatinya telah terluka. Juga insan ini sedang melangkah longlai menuju hari depan. Pulanglah kepadanya. Dia masih terus dan terus menunggumu.

B, pulanglah sayang… Jadikan cinta kita seperti waktu dahulu. Jika benar kemewahan dan wang ringgit tidak mampu membahagiakan sesuatu cinta, B buktikanlah. Ayang tetap menunggu B sampai bila-bila. Ayang sayang B. Muahhh…

Tuesday, August 4, 2009

Untuk Yang Tersayang

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang...

Kutuliskan puisi indah ini ketika aku duduk mengenangkan dia yang masih belum kembali. Hayatilah bait-bait puisi yang lahir dari hati. Semoga kau akan lebih mengerti...



Untuk Yang Tersayang...

Hadir mu menceriakan hidupku
Bagi ku dikau membawa sinar harapan
Kau membuatkan ku gembira
Kau membuatkan ku tersenyum
Kau membuatkan ku ketawa
Kau juga membuatkan ku menitiskan air mata
Kau menghadirkan kerinduan
Kau menghadiahkan aku kisah cinta yang paling manis pernah dirasa
Kau juga yang menjadi penawar kedukaan ini

Percayalah kasih
Hanya Tuhan saja yang tahu jauh dikamar hatiku ini
Kusimpan cinta mu padaku
Dan terus mekar dan menguntum
Menjadi jambangan paling harum
Sebagai hiasan menjalani hidup

Buat B, andai terbaca coretan ini. Pulanglah segera kepada ayang.
Kerinduan ini membuatkan ayang menderita.
Kejauhan ini menjadikan hidup ayang merana

Moga B mengerti... Pulanglah sayang... Ku menunggumu pulang ke pangkuan...

Monday, August 3, 2009

Detik 5.30 Petang

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang

Hari ini detik 5.30 petang muncul lagi. Detik yang satu waktu dahulu menjadi detik yang aku tunggu-tunggu dan nanti-nanti. Selepas berpisah dari jam 6.45 pagi hingga 5.30 petang kurasakan saat-saat yang berlalu bagai terlalu perlahan. Perpisahan lebih kurang 10 jam tanpa kekasih hati disisi membuatkan aku menjadi perindu yang sabar. Ya aku terpaksa pergi mencari rezeki dan dia pula harus ke puncak menaranya. Ku pujuk-pujuk diri ini bahawa sesungguhnya perpisahan itu sementara cuma. Detik 5.30 petang pasti muncul untuk aku bersua muka, merenung mata apatah lagi merangkulnya.

Dulunya apabila detik jam 4.45 petang dia pasti akan menghantar sms kepada ku. Katanya akan berada bersama aku seketika saja lagi. Pun kiriman sms nya juga mengajak aku untuk minum petang di tempatnya. Sekadar mengingati diri dengan ajak-ajak ayam. Aku kerap bertanyakan menu yang disediakan. Kadangkala kuih dan kadangkala mihun. Bila dia menghantar sms yang mengatakan dia sudah berada di parking motor aku pun mula menjerang air. Pilihannya pastilah Nescafe dengan susu pekat manis. Manakala aku pula hanya sekadar Nescafe-O ataupun Nescafe dengan susu tepung. Ini kerana aku tidak berapa menggemari makanan manis.


Kadangkala juga sambutan kepulangannya itu aku hidangkan dengan hasil tangan yang tidak mengecewakan. Mee goreng, maggi goreng, keropok lekor, cucur kodok, keropok ikan mahupun nugget pasti menjadi pilihan. Sering ingin memberikan yang terbaik aku sentiasa bersiap sedia. Kadang-kala ku akui apabila aku kepenatan atau pun dilanda kemalasan, air kosong menjadi pilihan. Namun dia tidak pernah mengeluh. Diterimanya apa yang aku hidangkan pada petang hari dengan senyuman mekar menguntum.

Apabila pintu dikuak, hadirlah sesusuk tubuh insan yang aku sayangi dan rindui seperti sudah lama tidak berjumpa. Kepulangannya ku sambut dengan wajah ceria, atau kadang-kala pura-pura masam minta dipujuk. Bagai anak kecil yang minta jajan aku menarik muncung. Sungguh aku ingin selalu berada di sampingnya (Maafkan aku yang sukar berenggang dengannya). Sambil menghadap hidangan petang mulut kami berbicara tentang hidup yang seketika tadi. Tentang kerja, tentang belajar, tentang teman apatah lagi tentang guru-gurunya. Semuanya ingin kami kongsi dan tidak ketinggalan walau sedikit pun. Kami bergurau senda dan bergelak ketawa.

Tapi kini sejak dia melangkah pergi, bila hampir detik 5.30 petang pada setiap hari aku bersiap sedia menunggu di ruang tamu. Melihat pada handphone yang tidak berbunyi dan bermesej, ruang itu kurasakan sepi. Aku mengerling ke arah pintu, berharap ada tangan yang membuka mangga gril dan menolak daun pintu. Berharap sesusuk tubuh yang masuk itu adalah dia. Berdoa semoga yang memberi salam itu adalah kekasih hatiku. Bermohon agar dia muncul dan memanggil namaku bagai waktu dahulu. Apatah lagi sama-sama menghadap minum petang sambil berkongsi cerita. Berbicara tentang hidup dan dunia kami yang berbeza. Bergurau senda dan usik mengusik. Namun itu semua TIDAK, TIDAK DAN TIDAK LAGI BERLAKU… LANTAS TIDAK, TIDAK DAN TIDAK terjadi lagi. Arghhhhhhhhhh… Betapa aku rindukan detik 5.30 petang pada waktu dahulu.

Kini detik 5.30 petang berlalu bagai awan yang menyapa. Tidak lagi memberikan kedinginan bagai waktu dahulu. 5.30 petang pada hari-hari setelah dia melangkah pergi berpuput begitu sahaja. Membiarkan petang berlalu dan senja menjengah tiba. Sedang aku khayal sendirian duduk diruang tamu melayan gelora rasa. 5.30 petang terlalu kejam kerana membiarkan hari berlalu begitu rupa. Pun 5.30 petang bagaikan terlalu angkuh melihat aku merintih pada kenangan-kenangan lalu. 5.30 petang tidak lagi memandang aku dalam kegembiraan. Kini 5.30 petang begitu sombong dan angkuh meninggalkan aku dengan harapan menanti 5.30 petang keesokan harinya. 5.30 petang esoknya bagai memberikan sinar harapan. 5.30 petang hari esok bagai menjanjikan kepulangan dia. Dan 5.30 petang pada esok akan bisa membahagiakan aku. Jadilah apapun pada detik 5.30 petang, biarkan aku disini menunggu susuk tubuh dia yang aku kenali itu.

Andai B membaca coretan ini, pulanglah membuka mangga gril dan menolak pintu. Tidak kiralah detik 5.30 petang atau detik apa pun. Ayang setia menunggu kehadiran B untuk mendamaikan hati ini. Simpanlah cerita-cerita tentang hidup, manisnya menimba ilmu atau pahitnya perjalanan kehidupan B itu ayang sedia mendengarnya. Akan ayang tunggu detik 5.30 petang pada setiap waktu agar lara hati ini terubat dengan panggilan mesra dan ungkapan sayang. Gelora hati ini pasti akan surut dan hari-hari mendatang pasti akan tenang andai itu terjadi. Sampai bila-bila pun kisah manis percintaan kita akan ayang simpan dalam geluk kasih sayang dalam diri ayang ini. B, kuaklah pintu hati sayangmu ini, pasti akan dapat kau lihat kebahagiaan abadi.

Pulanglah sayang… Detik 5.30 petang ku tak jemu menunggumu pulang…

Sunday, August 2, 2009

Akulah Yang Teristimewa...

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang…

Waktu terus berlalu. Berlalu dengan terlalu perlahan rasanya. Terus aku merasakan detik yang seakan merangkak itu berlalu pergi dan mengetawakan aku. Ya, waktu seakan-akan memerli diriku ini yang ditinggalkan kekasih hati. Dengan lantas aku tidak membiarkan diri ini ditertawakan apatah lagi dipermainkan. Aku mahu memiliki dirinya kembali dengan harapan kasih sayang yang telah bersebati dalam diri ini dapat ku curahkan dan aku terima dari seorang insan bergelar kekasih.

Menjadi diri sendiri aku terus-terusan menanti khabar, pertanyaan atau ulasannya melalui sms, panggilan telefon mahupun kehadirannya disisiku. Detik jam 5.30 petang yang dulu menjanjikan kebahagian pada cinta kami akan kah dapat berulang semula? Menanti kepada dia ibarat pungguk yang terlalu rindukan bulan. Betapa setia aku menanti disini dengan wajah yang seperti dahulu yang mengingatkan dia pada cinta semalam.

Kerinduan yang menerpa tetap membuai aku. Apatah lagi tangisan dan keluh-kesah. Tidak kering air mata ini meratapi kehilangan dan pemergiannya. Masih dalam kebingungan dan hilang arah aku memikirkan punca apatah lagi mencari kesalahan diri hingga dia melangkah pergi. Pasti iya memang benar aku bukan insan yang sempurna. Tetapi aku telah cuba dengan sedaya upaya menjadi diri sendiri dan tidak berpura-pura apatah lagi bermain sandiwara. Aku hadir kepadanya sebagai diri sendiri. Kalau ya aku berubah mungkin dia yang meminta perubahan itu. Aku membuatkannya senang dan mudah untuk memahami diri ini. Seharusnya karenahku tidak dipersoalkan kerana itulah aku yang dikenalinya sejak pertemuan pertama kami dahulu. Pertemuan pertama yang tidak pernah akan aku lupa sampai bila-bila.



“Yang lah insan istimewa dan merangkap yang terindah dalam hati B, I love you sayang. Muahhhh”.
-30 September


Mungkin dahulu akulah insan yang paling istimewa. Apatah lagi yang terindah dalam hidupnya. Bisa aku mengukir senyum pada wajah bulan. Apatah lagi melakar pelangi pada hujan pagi. Lantas keindahan dunia itu segalanya seolah-olah terletak pada diri ini yang menyayanginya dan mengasihinya tanpa kenal erti jemu. Tidak putus aku melahirkan rasa kasih dan menzikirkan kata sayang dibibir. Tanpa henti juga tangan ini terus membelainya sehingga dia keasyikan dan tidur dalam lena yang panjang. Menganyam kebahagiaan dan ketulusan hati. Mengalunkan lagu cinta antara aku dan dia, dalam hatinya dulu akulah juara. Dalam dirinya dulu akulah syurga dunia.

Namun saat ini tidak mampu aku membaca hatinya. Apatah lagi mengetuk pintu hatinya dengan panggilan sayang dan ingkapan mesra. Ini kerana segalanya tidak bersambut apatah lagi dihiraukan. Aku sendirian dalam melagukan suara hati yang sayu dan pilu ini. Apatah lagi mengalunkan senandung rindu yang aku cipta sendiri untuk memujuk diri. Aku sendirian, aku juga keseorangan.

Buat dia yang tetap aku cintainya. Andai terbaca lembaran patah hati ini, aku memintanya agar mengingati aku dan memikirkan sejenak hati yang rawan ini, yang dulunya pernah dia berjanji untuk memberikan kebahagiaan kepadaku sampai bila-bila. Menghadiahkan senyum dan ketawa, apatah lagi mengurniakan kasih sayang bersulam rindu cinta asmara. Aku masih menanti dan menagih janjinya dulu padaku.

B, ayang tak sanggup kita berjauhan begini. Apatah lagi tidak bertemu mata dan bersua muka. B, kembalilah dan sapukanlah air mata ini yang terlalu kerap jatuh ke pipi. B, nyanyikanlah lagu cinta kita agar ayang bisa tertidur lena diatas lenganmu itu. B, kembalikanlah kebahagiaan semalam. B, ketahuilah dengan jelas dan benar, sedikit pun ayang tidak pernah menyesal dalam mengenalimu dan menyayangimu. Rasa cinta ayang ini ikhlas dan penuh kasih sayang. Jangan dipersiakan cinta ayang ini B. Mohon B kembali disisi.

B, kembalilah… Ayang menantimu dengan sepenuh jiwa raga…