Friday, July 24, 2009

Pertemuan pertama (Indahnya Andai Dapat Diulang)

Assalamualaikum dan salam kasih sayang…

Salam buat semua. Aku masih kukuh disini lagi. Biarpun keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan namun terus gagah diri ini mencoret warkah luka atas kehilangan lalu. Biarlah apa kata orang tentang coretan-coretan luahan rasa ini. Yang pasti aku tahu aku menujukannya khas buat dia yang telah melangkah pergi. Dia yang dulu pernah memanggil aku sayang yang telah dengan senyap berlalu pergi meninggalkan aku terkapai-kapai keseorangan disini.

Aku masih ingat lagi pada detik pertemuan yang lalu. Kali pertama kami bertemu. Ya tarikh 21 September takkan aku lupakan sampai bila2. Biarlah tarikh itu menjadi kisah sejarah manis buat aku. Kisah pertemuan dengan insan yang cukup bermakna pada diriku. Tarikh 21 September adalah 2 hari selepas ulangtahun kelahirannya. Hadiah untuk tahun tersebut yang paling bermakna untuknya adalah aku yang telah hadir bagai mimpi disiang hari. Ya mungkin cocok andai aku catitkan sebagai bulan jatuh ke riba.

Bermula dengan beberapa balasan email dan akhirnya kami saling bertukar nombor telefon. Gambarnya dihantar kepadaku. Katanya dia berada ditengah2. Ya aku tak lupa pada gambar itu. Gambar itu masih lagi aku simpan sampai hari ini. Pada hari pertemuan itu indah belaka dan takkan ku lupa. Ya aku masih ingat lagi. Selepas Zohor dia telah menghantar sms yang pertama dan mengajakku untuk berjumpa. Kami berjanji untuk keluar pada petang itu untuk berbuka puasa bersama.


Dan petang itu dia datang menghampiri kawasan rumahku. Aku masih lagi ingat saat kami mula2 bertentangan mata. Dia memakai baju warna coklat berbelang dan berjeans biru pudar bersandal hitam. Di atas motor Lagenda nya dengan helmet dikepala dan telefon di telinga. Ketika aku memandangnya ayat pertama yang keluar dari mulutku adalah rendang. Ya dia memang agak pendek dan rendang orangnya. Aku tak sangka itulah kekasih hati yang bakal mendamaikan jiwa ini.

Tapi kerendangan itu tidak menjadikan pertemuan kami terhenti. Malahan kami menuju ke satu tempat buat kali pertama. Biarlah aku rahsiakan tempat itu. Kerana aku yakin dia pun masih lagi ingat tempat pertemuan pertama kami. Selepas berkenalan dan berkongsi cerita (hanya aku yang banyak bermadah) kami mula mencari restoran untuk berbuka puasa pada hari itu. Tapi malangnya semua telah penuh. Lantas aku ajaknya ke destinasi yang lain. Dia hanya mengangguk dan menuruti aku.

Aku masih ingat apa yang kami pesan dan apa yang kami lakukan. Saat waktu perpisahan kira-kira jam 9.30 keretaku sampai di bawah rumahku. Aku pun menghulurkan tangan tanda perpisahan dan terima kasih. Namun dia tidak betah berpisah untuk malam itu. Sebaliknya membuat permintaan yang sangat lucu dan entahlah, sukar ku tafsirkan apakah permintaannya itu. Biarlah aku dan dia saja yang tahu apa yang telah dilafazkannya padaku.


Awak, boleh awak…… saya? Nah akhir nya terlontar jua. Aku tidak bersetuju tetapi paksaan, resahan, desahan dan pujukan nya itu melemahkan aku (Maafkan aku Tuhan kerana tewas pada pujukan). Dan akhirnya 2 jiwa menjadi satu. Sesuai dengan tarikh keramat 21 September, 2 hati menjadi satu….

Tapi sekarang aku keseorangan menganyam kerinduan pada dada malam dan menongkah arus hidup yang penuh kepuraan pada siangnya. Percayalah, aku masih lagi mendakap dan memeluk baju dan seluarnya setiap kali pulang dari kerja sampai saat ini. Dan pada malamnya pula kupakaikan baju itu pada bantal pelukku agar aku dapat tidur lena bersama kenangannya. Namun begitu tidurku tidak lagi selena dan seasyik dulu.


Sayangku… Percayalah tanpa ragu, hati ini benar2 ingin mendakap dan memelukmu sekali lagi. Apatah lagi ingin bercumbu dengan mu sampai ke pagi hari. Aku tahu bagi dirimu mustahil untuk merealisasikan mimpiku ini. Tapi percayalah sayang. Aku takkan goyah dan gentar apatah lagi terlerai kasih sayang ku ini padamu. Cintaku masih hangat seperti dahulu. Seperti kali pertama kau lafazkan permintaan mu padaku. Dan kau telah tersenyum puas bila permintaan mu itu aku tunaikan.

Sayangku, jika kau membaca coretan luka ini sentiasa kau beringatlah. Bahawa insan yang bodoh dan tidak pandai bermadah puisi ini benar-benar ingin kau kembali kesisi. Pulanglah kepangkuan ku agar aku bisa berdondang sayang gembira dan tersenyum ketawa sehingga semua mata terpukau dan asyik memandang aku memilikimu.

Buat dia yang telah melangkah pergi… langkahkanlah hatimu semula kini, kepada insan yang pernah kau panggil sayang ini dulu. Ku menanti setia berdiri di sini. Pulanglah sayang... Ku mengharapkan cintamu