Showing posts with label mula. Show all posts
Showing posts with label mula. Show all posts

Saturday, July 25, 2009

Kau Panggil Aku Sayang

Assalamualaikum dan Salam Kasih Sayang

Hari ini rindu menjengah lagi. Entah kenapa hari demi hari kerinduan ku padanya terus mengejar dan menghambat rasa. Apakah dia juga merasai apa yang aku rasa. Entahlah. Dia terlalu cepat melupakan. Apa lagi membuang jauh-jauh perasaannya pada diriku ini. Aku tak pasti adakah sebenarnya dia merupakan boneka atau patung bernyawa?? Atau Sang Pencinta yang benar-benar setia bagai waktu dulu. Entahlah, sesungguhnya aku benar-benar tandus dalam memahami jiwanya kini.

Selepas pertemuan pertama, kami sering berbalas sms dan berjumpa sekerap mungkin. Habis saja dari kelasnya pada pukul 5.30 petang dia pasti terpacul di depan pintu rumahku. Dan kami banyak menghabiskan masa bersama hingga akhirnya perjumpaan pertama itu menjadikan kami gopoh untuk mengikatnya sebagai ikatan kasih sayang. Detik itu siapalah yang tidak bahagia. Detik itu siapalah yang tidak mahu menolaknya. Lantas panggilan saya-awak telah bertukar kepada Abi-Ayang. Ya dialah Abi dan aku Ayang. Sehingga hari ini aku masih menanti panggilan itu terpacul dari mulutnya. Sabarlah menanti dan memujuk diri.

Siapalah aku untuk menolak cinta yang telah dihulurkan, setelah sekian tahun diri ini sepi dan sendiri melangkah ranjau dan gelombang kehidupan. Akhirnya muncul juga seseorang yang sangat bererti dan memahami. Aku masih kaget dan bingung kerana aku mempunyai banyak kekurangan. Dengan tubuh yang berisi, chubby, gemuk dan barangkali sesuai dipanggil gendut aku tak cocok berdampingan dengannya. Bukan macam pinang yang dibelah dua. Apatah lagi kulitku yang agak gelap berbanding dengan dia. Wajah tampan, kulit putih mulus bersih, berbadan atletis dan kekar arghhhh aku jauh ketinggalan. Ku suarakan hal itu kepadanya namun jawapan yang aku terima cukup menakinkan. Cinta boleh dipupuk, apatah lagi cintanya tidak memandang kepada rupa paras dan wang ringgit. Keluhuran dan kebaikan hatiku menjadi bonus untuk kita bersatu luahnya kepadaku sambil membelai pipiku. Bercanda bukan.

Dan sejak itu setiap malam tidurku sering terganggu dengan rayuannya. Aku dibelai dan dicumbu kayak seorang manusia agung dan hebat yang pernah dia jumpa. Hampir setiap malam dan setiap waktu terluang. Dan bila kami berjauhan, rasa rindu dalam dirinya makin menebal dan menggunung. Namun tetap diatasi dengan kiriman puluhan sms dan panggilan menyatakan rasa sayang, rindu dan kasih. Dan aku terus terpana dan lena dengan keasyikan yang diberikannya.

“Abi baru balik masjid ni. Yang sory ek sebab Abi ganggu tido yang malam tadi. Kalau X mesti X ngantuk. Abi Xleh tahan gak dengan yang. Senyum sikit sayang sikit. Muah..
-26 September...

Itu antara sms nya. Hebat bukan luahan kata dan romantisnya dia bila kami tak bersama. Sedangkan usia perkenalan baru masuk 5 hari. Sudah tewas aku dan lemas aku dalam hangatnya cinta yang diberi. Aku amat menyayangi dia. Dia hadir tika aku meminta dan merayu pada yang Maha Pencipta agar dikurniakan seseorang yang boleh menjadi teman, sahabat, kawan mesra dan peneman hidup. Dan Maha Pencipta telah menghantarkan seorang Malaikat Penjaga Syurga untuk menjaga dan menyinari apatah lagi merahmati syurga dunia ciptaanku ini. Dan dengan kasar dan tanpa belas kasihan juga akhirnya kini kasih sayangku padanya dirampas, diragut apatah lagi ditarik dengan serta merta. Sesungguhnya aku telah lemah pada ujian ini yang terjadi tanpa amaran.


Sayangku, percayalah seandainya kau tercipta untuk diriku ini. Akan sentiasa ku terima dirimu itu dalam hidupku. Akan sentiasa ku belai mu dengan rasa sayang dan cinta, agar kasih yang kubina dan kujaga rapi akan kekal buat selama-lamanya. Dan terus menjadi pintalan yang kukuh agar ia tidak terputus dan terlerai. Seandainya kau tercipta untuk diriku ini sayang. Akan ku kutip semua serpihan cintamu itu. Akan ku kutip kasih sayang mu padaku. Akan kukutip kemanisan rindu itu. Akan ku kutip kebahagiaan bersamamu semula. Supaya hatimu dan hatiku kembali menjadi satu. Bersamalah kita membina kebahagiaan yang kekal jitu dan kukuh seandainya kau tercipta untuk diriku ini. Sayangku percayalah. Dari jauh ku himpunkan selalu doa kepada Rabbul Izzati Tuhan Sekalian Alam agar kau disana kembali semula kepadaku bagai waktu dahulu.

Buat kau disana yang membaca coretan luka ini, kembalilah. Jiwa ini hampir luluh sejak kau tinggalkan aku…. Pulanglah sayang. Sesungguhnya tidak jemu aku merayu dan mengemis cintamu. B, ayang sayang sangat kat B. Muahhhh……

Friday, July 24, 2009

Pertemuan pertama (Indahnya Andai Dapat Diulang)

Assalamualaikum dan salam kasih sayang…

Salam buat semua. Aku masih kukuh disini lagi. Biarpun keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan namun terus gagah diri ini mencoret warkah luka atas kehilangan lalu. Biarlah apa kata orang tentang coretan-coretan luahan rasa ini. Yang pasti aku tahu aku menujukannya khas buat dia yang telah melangkah pergi. Dia yang dulu pernah memanggil aku sayang yang telah dengan senyap berlalu pergi meninggalkan aku terkapai-kapai keseorangan disini.

Aku masih ingat lagi pada detik pertemuan yang lalu. Kali pertama kami bertemu. Ya tarikh 21 September takkan aku lupakan sampai bila2. Biarlah tarikh itu menjadi kisah sejarah manis buat aku. Kisah pertemuan dengan insan yang cukup bermakna pada diriku. Tarikh 21 September adalah 2 hari selepas ulangtahun kelahirannya. Hadiah untuk tahun tersebut yang paling bermakna untuknya adalah aku yang telah hadir bagai mimpi disiang hari. Ya mungkin cocok andai aku catitkan sebagai bulan jatuh ke riba.

Bermula dengan beberapa balasan email dan akhirnya kami saling bertukar nombor telefon. Gambarnya dihantar kepadaku. Katanya dia berada ditengah2. Ya aku tak lupa pada gambar itu. Gambar itu masih lagi aku simpan sampai hari ini. Pada hari pertemuan itu indah belaka dan takkan ku lupa. Ya aku masih ingat lagi. Selepas Zohor dia telah menghantar sms yang pertama dan mengajakku untuk berjumpa. Kami berjanji untuk keluar pada petang itu untuk berbuka puasa bersama.


Dan petang itu dia datang menghampiri kawasan rumahku. Aku masih lagi ingat saat kami mula2 bertentangan mata. Dia memakai baju warna coklat berbelang dan berjeans biru pudar bersandal hitam. Di atas motor Lagenda nya dengan helmet dikepala dan telefon di telinga. Ketika aku memandangnya ayat pertama yang keluar dari mulutku adalah rendang. Ya dia memang agak pendek dan rendang orangnya. Aku tak sangka itulah kekasih hati yang bakal mendamaikan jiwa ini.

Tapi kerendangan itu tidak menjadikan pertemuan kami terhenti. Malahan kami menuju ke satu tempat buat kali pertama. Biarlah aku rahsiakan tempat itu. Kerana aku yakin dia pun masih lagi ingat tempat pertemuan pertama kami. Selepas berkenalan dan berkongsi cerita (hanya aku yang banyak bermadah) kami mula mencari restoran untuk berbuka puasa pada hari itu. Tapi malangnya semua telah penuh. Lantas aku ajaknya ke destinasi yang lain. Dia hanya mengangguk dan menuruti aku.

Aku masih ingat apa yang kami pesan dan apa yang kami lakukan. Saat waktu perpisahan kira-kira jam 9.30 keretaku sampai di bawah rumahku. Aku pun menghulurkan tangan tanda perpisahan dan terima kasih. Namun dia tidak betah berpisah untuk malam itu. Sebaliknya membuat permintaan yang sangat lucu dan entahlah, sukar ku tafsirkan apakah permintaannya itu. Biarlah aku dan dia saja yang tahu apa yang telah dilafazkannya padaku.


Awak, boleh awak…… saya? Nah akhir nya terlontar jua. Aku tidak bersetuju tetapi paksaan, resahan, desahan dan pujukan nya itu melemahkan aku (Maafkan aku Tuhan kerana tewas pada pujukan). Dan akhirnya 2 jiwa menjadi satu. Sesuai dengan tarikh keramat 21 September, 2 hati menjadi satu….

Tapi sekarang aku keseorangan menganyam kerinduan pada dada malam dan menongkah arus hidup yang penuh kepuraan pada siangnya. Percayalah, aku masih lagi mendakap dan memeluk baju dan seluarnya setiap kali pulang dari kerja sampai saat ini. Dan pada malamnya pula kupakaikan baju itu pada bantal pelukku agar aku dapat tidur lena bersama kenangannya. Namun begitu tidurku tidak lagi selena dan seasyik dulu.


Sayangku… Percayalah tanpa ragu, hati ini benar2 ingin mendakap dan memelukmu sekali lagi. Apatah lagi ingin bercumbu dengan mu sampai ke pagi hari. Aku tahu bagi dirimu mustahil untuk merealisasikan mimpiku ini. Tapi percayalah sayang. Aku takkan goyah dan gentar apatah lagi terlerai kasih sayang ku ini padamu. Cintaku masih hangat seperti dahulu. Seperti kali pertama kau lafazkan permintaan mu padaku. Dan kau telah tersenyum puas bila permintaan mu itu aku tunaikan.

Sayangku, jika kau membaca coretan luka ini sentiasa kau beringatlah. Bahawa insan yang bodoh dan tidak pandai bermadah puisi ini benar-benar ingin kau kembali kesisi. Pulanglah kepangkuan ku agar aku bisa berdondang sayang gembira dan tersenyum ketawa sehingga semua mata terpukau dan asyik memandang aku memilikimu.

Buat dia yang telah melangkah pergi… langkahkanlah hatimu semula kini, kepada insan yang pernah kau panggil sayang ini dulu. Ku menanti setia berdiri di sini. Pulanglah sayang... Ku mengharapkan cintamu

Thursday, July 23, 2009

Awal Bismillah Pembuka Bicara




Assalamualaikum wrt. wbt. Salam kasih sayang


Biarlah terlebih dahulu biarlah aku mengenalkan diri yang serba kekurangan ini. Aku seorang insan biasa yang tak dapat lari dari masalah dunia dan jiwa. Aku pernah merasa manisnya cinta dan hebatnya kuasa cinta. Namun kini, siapalah aku untuk menguntai buih-buih di lautan tanpa cinta di hati. Ya benar dia telah pergi meninggalkan aku. Tapi aku masih mengharap ada sinar dihujung sana yang memungkinkan aku dan dia untuk bersama kembali. Sinar yang aku harapkan itu pasti akan datang kerana aku sangat mengharap dan merayu agar ketenangan hati ini dapat diubati dan dirawat semula.


Semua yang aku catatkan disini adalah ulasan duka dan rentetan peristiwa sejak aku ditinggalkan si dia. Dia yang tiba-tiba menghilang dan mendiamkan diri tanpa khabar berita. Siapalah aku untuk bertanya kenapa? Aku tak tahu jawapan hatinya yang ada untukku. Yang pastinya aku disini keseorangan dan kekosongan dalam meniti dan membilang hari-hari tanpa dia disisi.



Diketika ini air mata, sendu dan tangis adalah sahabat yang paling akrab menemani. Terlalu murah rasanya untuk aku menangis. Mungkin aku telah banyak ketawa dan tersenyum sehingga Maha Pencipta telah beri ujian sebesar ini buatku. Mungkin aku tak pernah bersyukur atau berterima kasih atas kedatangan dia menemani aku selama ini. Mungkin ini balasan bagi aku yang tak pandai menghargai dan melayan sehingga kasih yang tersemai rapi dan elok terjaga berlalu begitu saja. Biarlah aku letakkan kesalahan ini 100% pada diriku. Yang penting aku masih mengharap dia kembali padaku.


Siapa dia, hanya aku dan dia yang tahu. Hanya aku dan dia yang tahu rahsia hati kami. Dari detik perkenalan sehingga akhir pertemuan biarlah aku dan dia sahaja yang tahu siapa kami sebenarnya. Terima kasih kalau ada yang sudi mendengar dan membaca coretan ini. Aku hanya bermonolog dan bercerita dengan dia. Dan siapa dia? Aku rasa dia tahu siapa dia. Bagi aku…



Dia adalah insan yang memberi segala kasih yang aku damba selama ini.

Dia adalah insan yang muncul sebagai sahabat yang sentiasa di sisi.

Dia adalah insan yang menabur janji manis dan ungkapan mesra.

Dia adalah insan yang mengajar aku erti kasih sayang dan cinta.

Dia adalah insan yang menjadi teman berkongsi cerita.

Dia adalah insan yang memberi semua rasa dalam diri ini.

Dia adalah insan yang membahagiakan hidup ini.

Dia adalah insan yang menggembirakan hati.

Dia adalah insan yang mencintai.
Dia adalah kekasih yang punya
segala-galanya…



Tapi itu dulu. Sebelum aku ditinggalkan dan dia melangkah pergi. Sekarang aku tak tahu lagi apa perasaannya padaku. Aku tak tahu ke mana telah dia campakkan hatinya untukku dan ke mana telah dia lontarkan cintaku yang telah aku beri selama ini. Apa yang aku tahu aku masih menunggu, menanti, setia, mengharap dan selamanya akan berada disini untuk mendakapnya sepuas-puas mungkin dan takkan membiarkannya terlepas dari rangkulan ini buat selama-lamanya. Aku akan tetap setia disini bagai pelabuhan yang menunggu kapal. Biar dihentam ombak badai yang menghempas menyakitkan namun takkan pernah aku berhenti dari menyayangi dia yang tetap dalam hatiku untuk selamanya.




Kalau dia membaca coretan lukaku ini. Aku minta dia berfikir sejenak dengan hati nurani yang putih bersih dan suci mengingati aku seperti kali pertama kami bertemu dulu. Walaupun mungkin telah dia buang aku jauh-jauh daripada hidupku ini percayalah, cintaku, kasihku, sayangku pada dia masih tetap utuh dan setia kerana dia adalah insan kurniaan Maha Pencipta yang benar-benar bererti bagiku.



Sayangku pulanglah... Kepulanganmu ku tunggu.