Thursday, July 23, 2009

Awal Bismillah Pembuka Bicara




Assalamualaikum wrt. wbt. Salam kasih sayang


Biarlah terlebih dahulu biarlah aku mengenalkan diri yang serba kekurangan ini. Aku seorang insan biasa yang tak dapat lari dari masalah dunia dan jiwa. Aku pernah merasa manisnya cinta dan hebatnya kuasa cinta. Namun kini, siapalah aku untuk menguntai buih-buih di lautan tanpa cinta di hati. Ya benar dia telah pergi meninggalkan aku. Tapi aku masih mengharap ada sinar dihujung sana yang memungkinkan aku dan dia untuk bersama kembali. Sinar yang aku harapkan itu pasti akan datang kerana aku sangat mengharap dan merayu agar ketenangan hati ini dapat diubati dan dirawat semula.


Semua yang aku catatkan disini adalah ulasan duka dan rentetan peristiwa sejak aku ditinggalkan si dia. Dia yang tiba-tiba menghilang dan mendiamkan diri tanpa khabar berita. Siapalah aku untuk bertanya kenapa? Aku tak tahu jawapan hatinya yang ada untukku. Yang pastinya aku disini keseorangan dan kekosongan dalam meniti dan membilang hari-hari tanpa dia disisi.



Diketika ini air mata, sendu dan tangis adalah sahabat yang paling akrab menemani. Terlalu murah rasanya untuk aku menangis. Mungkin aku telah banyak ketawa dan tersenyum sehingga Maha Pencipta telah beri ujian sebesar ini buatku. Mungkin aku tak pernah bersyukur atau berterima kasih atas kedatangan dia menemani aku selama ini. Mungkin ini balasan bagi aku yang tak pandai menghargai dan melayan sehingga kasih yang tersemai rapi dan elok terjaga berlalu begitu saja. Biarlah aku letakkan kesalahan ini 100% pada diriku. Yang penting aku masih mengharap dia kembali padaku.


Siapa dia, hanya aku dan dia yang tahu. Hanya aku dan dia yang tahu rahsia hati kami. Dari detik perkenalan sehingga akhir pertemuan biarlah aku dan dia sahaja yang tahu siapa kami sebenarnya. Terima kasih kalau ada yang sudi mendengar dan membaca coretan ini. Aku hanya bermonolog dan bercerita dengan dia. Dan siapa dia? Aku rasa dia tahu siapa dia. Bagi aku…



Dia adalah insan yang memberi segala kasih yang aku damba selama ini.

Dia adalah insan yang muncul sebagai sahabat yang sentiasa di sisi.

Dia adalah insan yang menabur janji manis dan ungkapan mesra.

Dia adalah insan yang mengajar aku erti kasih sayang dan cinta.

Dia adalah insan yang menjadi teman berkongsi cerita.

Dia adalah insan yang memberi semua rasa dalam diri ini.

Dia adalah insan yang membahagiakan hidup ini.

Dia adalah insan yang menggembirakan hati.

Dia adalah insan yang mencintai.
Dia adalah kekasih yang punya
segala-galanya…



Tapi itu dulu. Sebelum aku ditinggalkan dan dia melangkah pergi. Sekarang aku tak tahu lagi apa perasaannya padaku. Aku tak tahu ke mana telah dia campakkan hatinya untukku dan ke mana telah dia lontarkan cintaku yang telah aku beri selama ini. Apa yang aku tahu aku masih menunggu, menanti, setia, mengharap dan selamanya akan berada disini untuk mendakapnya sepuas-puas mungkin dan takkan membiarkannya terlepas dari rangkulan ini buat selama-lamanya. Aku akan tetap setia disini bagai pelabuhan yang menunggu kapal. Biar dihentam ombak badai yang menghempas menyakitkan namun takkan pernah aku berhenti dari menyayangi dia yang tetap dalam hatiku untuk selamanya.




Kalau dia membaca coretan lukaku ini. Aku minta dia berfikir sejenak dengan hati nurani yang putih bersih dan suci mengingati aku seperti kali pertama kami bertemu dulu. Walaupun mungkin telah dia buang aku jauh-jauh daripada hidupku ini percayalah, cintaku, kasihku, sayangku pada dia masih tetap utuh dan setia kerana dia adalah insan kurniaan Maha Pencipta yang benar-benar bererti bagiku.



Sayangku pulanglah... Kepulanganmu ku tunggu.