Friday, July 31, 2009
Dengarkan Cinta
Puisi ini kutujukan pada dia yang masih tetap membisu. Dia yang dengan sengaja memekakkan telinga dan menutup mulut diam membisu. Biarlah aku sendirian bermonolog pada kisah cinta... (Tuhan bukakan telinganya dan izinkan dia berkata-kata)
DENGARKAN CINTA
(Untuk Dia Yang Tetap Membisu)
Ku mencintaimu
Bukan kerana wang ringgit dan emas permata
Bukan juga kerana harta yang melimpah ruah
Tapi kerana cinta yang telah terusik dalam hati
Ketika kali pertama kau melafazkan kata sayang
Dengarkan cinta....
Dengarkan, cinta ini memanggilmu
Menyapamu
Menyentuhmu
Tapi kenapa kau diam?
Diam dan terus diam membisu
Sehingga tak mampu mengingati aku lagi
Apakah kau tidak tahu?
Apa memang kau tidak mahu tahu akan cinta ku padamu?
Atau kau pura-pura tidak tahu betapa aku cinta padamu?
Entah sampai bila aku harus menanti dan menunggu
Apatah lagi merindu, menyebut dan memanggil namamu
Hingga saat raga ini tidak bernafas lagi?
Sendirian ku pendamkan cinta yang mendalam ini
Dan hanya menjadi rahsia hati
Yang terpilu saat kau melangkah pergi
Detik bunga itu mulai tumbuh di taman hati
Pada pagi hari yang dingin
Mengapa sinar mentari petang membuatnya layu kembali?
Saat ku masih memerlukan dambaan dan rangkulanmu
kau pergi
pergi meninggalkan diri
yang haus akan siraman embun cintamu
Dengarkan cinta....
Dengarkan sayangmu ini memanggilmu
Pulang ke sisi bagai waktu dulu
B, Ayang merinduimu...
Pulang lah semula ke lubuk hati...
Semoga coretan ini bisa mengembalikan langkahmu...
Bertamu di kalbu insan ini yang menyayangimu...
Pulanglah sayang... Ayang menunggu B pulang
Thursday, July 30, 2009
Laguku Untukmu : Wali Band - Dik
Aku masih menunggu disini. Menunggu dan menanti dengan penuh harapan agar dia kembali ke sisi. Lenaku tetap terganggu dengan mimpi saat bersama. Apatah lagi sukar untuk aku melelapkan mata. Ku ingin setiap kali aku terjaga hakikat kesedihan ini berakhir dan dia muncul di depan mata atau di sebelahku sambil membelai pipiku. Ya itu lah yang selalu dilakukannya dulu. Juga aku akan menepuk-nepuk manja agar dia dapat tidur lena hingga ke pagi. Tapi aku sedar dan tahu. Detik itu entah bila akan berulang kembali. Hatinya masih belum terbuka untuk memanggil namaku. Juga dia belum bisa untuk merinduiku. Aku tahu dia tidak memperdulikan lagi insan yang pernah dia panggil sayang ini lagi.
Sepanjang perkenalan kami dan saat romantisnya percintaan yang kami sirami dan bajai dengan kasih sayang kami sering bertukar-tukar lagu romantis. Aku Yang Kau Panggil Sayang-Khairul Idlan, Taman Astakona-Slash, Tanpamu-Farawahida dan banyak lagi. Aku telah menghadiahkan dia lagu Wali Band-Dik yang mempunyai lirik dan alunan muzik yang tersendiri. Ya katanya dia pasti akan terpesona dengan petikan gitar atau petikan piano pada sesebuah lagu. Romantis katanya. Aku hanya mengangguk dan memandangnya dengan penuh kasih sayang.
Pun begitu aku mengakui saat percintaan kami amat manis dan terlalu syahdu untuk dikenang. Pada waktu itu akulah insan yang dipuja setiap masa. Saat perpisahan melanda untuk dia pergi jauh dariku seketika pun akan dia hubungi aku setiap masa. Dengan sikapku yang agak risau dan takut terjadi bencana atau sesuatu yang buruk pada buah hatiku waktu itu. Memang aku selalu khuatir kerana aku tak mahu kehilangannya, apatah lagi membiarkan dia melangkah pergi. aku tidak mahu.
Namun kini segalanya yang aku takuti dahulu telah berada di depan aku. Suratan takdir atau kebetulan? Siapa yang menjauhi siapa? Siapa yang meninggalkan siapa? Siapa yang tidak setia? Siapa yang dengan angkuh tidak bertanya khabar berita? dan siapa pula yang membiarkan siapa menangis? Jawablah pertanyaan ini. Jawablah sambil mencari tafsiran dalam diri. Aku dan dia perlu saling memikir. Apa lagi menyelam dalam-dalam ke lubuk hati masing-masing. Perlu, ya memang perlu kita lakukan itu semua.
Buat dia yang aku sayangi sampai ke hari ini. Dengar dan hayatilah lagu ini. Fahamilah lirik lagu yang pernah ku berikan padamu dulu. Membiarkan kau rapuh pun aku tak ingin, apatah lagi membiarkan kau pergi sayang. Aku pohon agar kembali lah B. Ayang menunggu dengan kasih sayang seperti dahulu. Berjanjilah untuk terus pertahankan rasa sayang itu. Berjanjilah untuk tidak memisahkan cinta kita. Berjanjilah untuk memberikan kebahagiaan yang abadi agar kisah ini menjadi cinta terakhir untuk kita. Ayang sayang B. Muahhhh...
http://www.youtube.com/watch?v=rtt9vWueFpc
Wali Band - Dik
Dik, aku pinta kau akan s’lalu setia
Dik, aku mohon kau s’lalu menemani
Saat ku tengah terluka
Kala ku tengah gundah
Reff:
Ku akan menjagamu
Di bangun dan tidurmu
Di semua mimpi dan nyatamu
Ku akan menjagamu
Tuk hidup dan matiku
Tak ingin, tak ingin kau rapuh
Dik, jangan engkau pergi tinggalkan aku oh…
Dik, ingin aku cinta dan cinta s’lalu
Saat kau tengah terluka
Kala kau tengah gundah
Back to Reff:
Kau akan menjagaku
Di bangun dan tidurku
Di semua mimpi dan nyataku
Kau akan menjagaku
Tuk hidup dan matiku
Tak ingin, tak ingin kau rapuh
Back to Reff:
Wednesday, July 29, 2009
Siapa Dia dan Siapa Pula Aku?
Genap seminggu aku mencoretkan luahan hati di blog ini. Aku tak pasti dan tak tahu adakah telah dia baca dan amati blog kesayanganku ini atau tidak. Apatah lagi mendengar rayuanku. Kerana untuk mengucapkan Selamat Pagi atau Selamat Malam pun dia tidak menghantar sms ataupun menghubungiku lagi, inikan pula tulisan-tulisanku yang pasti dianggapnya sebagai sampah dan tidak penting lagi dalam hidupnya kini. Siapalah aku dihatinya pada masa-masa seperti ini? Entahlah, kusut untuk menerangkan dan memberi definisi hatinya pada ku. Aku terlalu jahil dalam menduga dan menilik perasaannya padaku saat ini.
Siapa dia sebenarnya? Siapa dia dahulu dan siapa dia sekarang? Siapa dia yang pernah mengetuk pintu hatiku dan membahagiakannya dan dengan pantas juga telah melangkah pergi? Siapa dia yang kupuja hari-hari hingga keadaan kesihatanku menjadi tidak menentu? Siapa dia yang sering aku sebut namanya dari terbit fajar hingga lewat purnama? Dan siapa dia yang telah hadir mengganggu lenaku hingga membuatkan aku terjaga dan tersedu-sedan menangis hingga ke pagi? Siapa dia bagiku?
Bagiku dia cukup istimewa. Apa lagi cukup bererti. Dia berada dalam satu sudut paling bermakna dalam hati ini. Kasih sayangku tersimpul rapi hanya padanya seorang. Tidak timbul langsung rasa ingin menduakan mahupun berpaling daripadanya. Kuserahkan hidup ini hanya untuk dia kerana dia insan yang amat membahagiakan dan mendamaikan jiwa. Juga pada hari ini dialah insan yang kutunggu-tunggu untuk tiba dan memanggilku sayang semula dan memelukku dengan ketat untuk berjanji mewarnakan hidupku. Aku cuma mengharap apa lagi memohon agar kasihku itu dikembalikan semula padaku.
Dan sebenarnya dia adalah seorang insan yang masih belajar dan berguru. Masih berkawan dengan pena dan buku. Masih menuntut ilmu dan cetek pengalaman. Datang dari negeri Pahlawan Mat Kilau untuk menimba ilmu sebagai seorang profesional dibumiku ini. Namun tidak dapat disangkal dalam pencarian ilmu itu jiwanya memerlukan kasih sayang dari seorang insan bergelar kekasih. Dengan wajah mirip pelakon Ezany Nizariff (versi lain), dia cuba melebarkan sayap cinta dengan bertemu beberapa manusia yang tidak mengendahkannya lantas mentah-mentah menolak cintanya. Katanya suatu masa dahulu dia pernah mengidamkan seseorang, hingga dia bawa lari dan bercuti ke Cherating dengan menggunakan wangnya sendiri. Tapi sayang cintanya tak terbalas. Manusia yang dia cukup sayangi itu tidak membalasnya apa lagi mengendahkanya dan hanya menggunakannya untuk mendapatkan orang lain. Bukan sedikit wang yang habis. apatah lagi dengan hadiah reload topup dan sebagainya. Dia benar-benar tidak bahagia. Berbeza sungguh denganku hingga dia mengakui akulah kekasih pertama dalam hatinya.
Atas kelukaan jiwa dan keresahan hati tidak berteman dia mencuba nasib percintaan denganku pula. Pertama kali aku berjumpanya wajahnya yang putih itu agak berjambang dan bermisai tebal. Mungkin kerana itulah dia ditolak oleh orang lain. Usia muda tetapi dengan raut wajah yang tidak padan dengan umurnya barangkali. Wajahnya agak matang dan terlalu berumur. Ibarat pakcik-pakcik. Ya aku sering melabelkannya begitu (Hehehehe....) Pakaiannya juga agak biasa dengan baju berbelang-belang dan bersaiz besar. Kalau ada pun yang bagus mungkin baju "Konichiwa" berlengan panjang yang dipunyainya. Bagi aku, tidak aku memandang rupa paras, kacak bergaya mahupun wang di dalam dompet. Asalkan dapat hadir seseorang yang memahami jiwa dan bergandingan denganku melalui hidup yang berliku pada masa hadapan pun sudah cukup. (Am I asking too much?) Dan akhirnya, kami sama-sama jatuh cinta. Aku tertarik pada keikhlasan hati, budi bahasa, penjagaan solat apatah lagi tutur katanya yang baik dan sopan.
Semasa kami melalui detik bahagia, perlahan-lahan identitinya aku ubah. aku ingin jadikannya seorang manusia bergaya sesuai dengan susuk tubuh dan wajah yang dimiliki. Butik Padini, Seed mahupun jualan bundle dengan fesyen terkini kami terokai bersama. Sama-sama kami mencorakkan identiti masing-masing dan melahirkan idea. Aku gembira dan dia juga begitu. Aku begitu bersyukur dikurniakan kekasih hati yang memahami dan mendengar gelojak jiwa ini. Tapi aku tak dapat menepis perasaan khuatir dan rungsing apabila identitinya telah berubah nanti.
"B, ayang takut nanti dah handsome-handsome macam ni B jatuh plak kat tangan orang lain". Luahku pada satu hari.
"Jangan risau sayang, B sayang sangat kat insan yang dah ubah hidup B dan menjadikan B sebagai manusia sempurna". Balas dia sambil mencium pipiku.
Ketika itu kerungsingan dan kekhuatiranku cepat-cepat aku tepis dan tolak ke tepi. Tidak akan terfikir sama sekali dia yang telah melafazkan ayat-ayat manis seperti itu akan melangkah pergi seperti yang dilakukannya pada hari ini. Insan yang telah mengubah hidupnya dan yang telah menjadikan dirinya hampir sempurna telah ditinggalkan tanpa sebarang berita. Terkapai-kapai aku sendirian mengenang nasib dan salah silapku. Mohon kepada Maha Pencipta agar dia mengingat kembali dan mengenang kembali insan yang telah membawa dia masuk kedalam dunia seperti ini. Apatah lagi pada insan ini yang telah memberikan buah fikiran dan pandangan sehingga dia berubah seperti hari ini. Tolonglah Tuhan, berikanlah dia peluang mengingati dan mengenang kembali detik itu.
Kini dia telah pergi tanpa khabar berita mahupun sapaan pada ku lagi. Telah ditinggalkan aku bermain dengan perasaan ini. Betapa sombongnya dia waktu ini. Betapa jiwanya begitu kering, kental dan kuat untuk tidak menyebut namaku lagi. Betapa aku tidak tahu adakah dia masih menyimpan gambar-gambar kenangan kami mahupun kad-kad pemberianku dulu. Apatah lagi betapa aku tidak tahu samada dia masih menggunakan pemberianku hingga saat ini. Aku tidak tahu dan aku tidak pasti. Yang aku tahu adalah aku tetap menunggunya disini bagai waktu dulu. Berteman dengan air mata dan gundah gulana. Bilakah dia akan kembali? Aku tidak tahu. Sabarlah menanti. Mungkin berkat kesabaran ini hatinya akan perlahan-lahan jernih dan mampu melihat bayangku. Tidak mengapa walau hanya sekadar bayang wajahku, jangan dilupakan aku terus. Ingatlah pada kekasih hatinya ini walaupun sebesar hama. Aku redha. Aku pasrah. Aku cuma memohon jangan dilupakan aku terus. Aku jadi lemah dan tidak berdaya begitu.
Sayangku
ingin kuberi kau
seluruh rindu
yang terpendam
dari malam ke malam
dari hari ke hari
kekasihku yang satu
akukan selalu untukmu
B, andai terbaca coretan ini. Bukalah pintu hati. Renungkanlah kedalam diri. Pandanglah dengan mata hati. Lihatlah apa yang pernah diberi. Jangan alpa. Apatah lagi jangan sesekali B lalai. Detak jantung ini tidak pernah berhenti dari merinduimu. Apatah lagi menyayangimu. Pulanglah, ku ingin merangkulmu seperti waktu dahulu...
Tuesday, July 28, 2009
KELUHAN PENUH HARAPAN
Puisi ini aku dedikasikan buat dia yang pernah menyayangi.
Buat dia yang pernah memetik bulan untukku.
Apatah lagi dia yang pernah menghadiahkan aku sebutir bintang.
Aku harap dia mengerti rasa hati ini.
KELUHAN PENUH HARAPAN
Sayang ku…
Sewaktu kau duduk bersendirian
Adakah engkau mendengar suaraku ini?
Adakah engkau mendengar keluhan hati ku ini?
Adakah engkau mendengar jeritan jiwaku ini?
Sedangkan engkau benar-benar telah menjauhkan diri dariku
Jauh ke dalam lubuk hati seorang insan asing
Pun aku tidak tahu adakah cintamu itu telah hilang untukku?
Dan lantas kau beri pada yang lain
Sayang ku…
Apa yang harus ku katakan pada mu?
Ketika engkau tiada disisi ku
Seribu kerinduan telah membakar diri ini
Seribu persoalan telah melanda diri ini
Seribu kenangan menerpa diri ini
Percayalah
Siapalah aku tanpa cintamu
Sayang ku…
Tahukah engkau…
Betapa diriku ini
Sentiasa gelisah menanti kepulangan mu
Betapa mataku ini
Sentiasa terbayang senyuman manismu
Betapa hatiku ini
Telah merasa kekosongan tanpa kehadiran mu
Betapa jiwaku ini
Merayu mengharap kepulangan mu
Dan tanpa jemu aku terus-terusan mendakap
Semua kenangan milik kita
Yang telah kau tinggalkan padaku
Sayang ku…
Kembalilah kepada ku
Seperti waktu dahulu
Agar bisa aku bernafas dengan tenang dan aman
Denganmu yang sentiasa menemani siang dan malamku
B, kembalilah
Ayang amat-amat merinduimu…
Monday, July 27, 2009
Lagunya Untukku (Aku Yang Kau Panggil Sayang - Khairul Idlan)
Aku baru saja keluar dari rumah sakit. Masih lagi berbau ubat dan panas badan. Kata doktor aku deman panas yang keterlaluan. Tapi aku tahu, aku sedang demam rindu. Demam rindu pada dia yang telah lama tidak aku lihat, kucup dan belai. Keluargaku menjadi risau dan tidak keruan. Tapi aku hanya membatu dan mendiamkan diri. Biarlah aku saja yang tahu apa sebenarnya yang terbeban dalam diri ini. Biarlah aku menutup mulut dan memekakkan telinga. Apa yang aku inginkan hanyalah dia untuk kembali ke dalam hidupku. Puluhan sms telah ku hantar, apatah lagi panggilan. Namun tidak berjawab. Dan apabila dia menelefon ku walau untuk seminit malam tadi, aku jadi tenteram buat seketika. Namun dia tetap tidak mahu menjengah, apatah lagi datang untuk melawatku. Bayangnya pun langsung tidak muncul. Kejamnya dia.
Pun kesakitan ini aku tanggung sendiri. Sedang dia gembira dan tersenyum di sana dengan kekasih barunya. Aku tak tahu dengan siapa. Dan aku tidak peduli dengan siapa. Perlu kah aku tahu siapa? Aku tak mahu tahu pun walau sedikit. Yang pasti aku cuma mahu melihat dia. Dia yang pernah berjanji mendamaikan jiwa yang resah ini, apatah lagi dia yang berjanji membahagiakan hidupku walau dengan kehadirannya di sisiku. Berjanji dengan seribu janji dan rasa kasih sayang. Saat menuturkan janji aku jadi lemah dengan pujukan dan cumbu rayunya itu. Siapalah aku untuk menidakkan kasih sayang yang telah ditunjukkan dulu???
Dan dengan janji dan ucapan sayang itu telah dia hadiahkan aku sebuah lagu yang cukup romantis. Liriknya telah aku hafal. Apatah lagi melodinya telah aku kenal dan amati dengan begitu asyik. Alunan muziknya sentiasa bermain dalam hati. Biar apa yang diberikannya kepadaku itu kecil dan seindah biasa, walau sekadar lagu, aku hargai dan aku berterima kasih dan bersyukur. Kerana aku tahu aku adalah permata hatinya pada satu masa dahulu. Juga aku adalah kekasihnya yang sangat dicintai. Siang malam dia leka menyebut namaku dan mengingati aku dulu.
Namun seperti lagu itu, kisah kami akhirnya terputus di tengah jalan. Memang sentiasa aku mengharapkan masa-masa silam agar bersambung semula. Di mana telah dia terokai hati ini sedalam mungkin dan sejauh mungkin. Namun kini janjinya hanya tinggal janji. Hanya aku yang mengulit sisa-sisa cinta dan dia tak dapat menghalang diri dari melangkah pergi. Entah aku pun tak tahu bilakah akan dia kembali semula ke dalam hati ini. Jawapannya terletak pada dia. Sedang aku taat setia bagai seorang hamba kepada tuannya.
Siangku sunyi, apatah lagi malamku sentiasa di goda rindu. Bagai dalam kegelapan aku mencari kasihnya yang semakin hilang tak kembali. Teraba-raba aku sendiri. Entah bila pencarian ini akan berakhir.
B, andai terbaca coretan ini sekilas lalu, percayalah. Cinta, kasih, rindu dari insan yang pernah kau panggil sayang ini tetap sama seperti dulu. Bukalah mata, bukalah hatimu dan bukalah minda mu untuk kembali pulang menemaniku bagai waktu dahulu. Ku menanti penuh pengharapan. B, ayang rindu B. Datanglah seperti waktu dahulu. Jangan biarkan ayang memujuk diri sendiri dengan air mata yang sering tumpah ini. Kembalilah sayangku...
Lagu ini B tujukan khas ayang. Buat B, dengar dan hayatilah lagu ini sedalam mungkin. Ingatlah saat manis ketika B berikan lagu ini pada ayang dulu. Dan dengan anggukan dan persefahaman dunia kita pun dulu pernah bersatu. B, biarkan lah dunia yang takbur, tertawa menonton kita. Ayang sayang B, Muahhhhh......
http://www.youtube.com/watch?v=2fggKHUfHVw
Sunday, July 26, 2009
Hari Ahad Semalam
Hari Ahad sebegini aku duduk keseorangan lagi. Dikatil hospital bertemankan laptop, telefon dan baju si dia yang aku simpan dibawah bantal. Aku merasa sungguh lemah dan berada dalam kerinduan yang teramat sangat pada dia. Namun dia tetap tak kunjung tiba. Aku tahu dia sedang berhibur dan bersenda gurau dengan teman barunya. Lantas kerana itu dengan mudah aku dilupakan dan ditinggalkan sebegitu saja.
Siapalah aku untuk tidak menangis lagi? Air mata mengalir deras bila aku keseorangan dan kesepian. Selalunya hari Ahad begini kami akan memulakan pagi dengan sarapan di tempat pilihan kami. Mana lagi kalau bukan Chong Kok Kopitiam. Dia akan memesan air kopi susu kegemaran nya yang kaw dan makan kueytiaw atau mee bersama telur goreng. Hehehe... Ya dia amat menggemari telur goreng. Sehingga aku sering memarahinya dan menghadkan jumlah pengambilan telur dalam seminggu. Betapa cerewetnya aku. Aku akui memang ya. Aku cuma mahu orang tersayang berada dalam keadaan sihat sejahtera. Tak salah bukan???
Sihat atau tidak dia itu aku tak pasti. Yang penting aku terlantar begini. dan bila malam tidurku terganggu dek bayangan dia dan meracau memanggil nama dia. Keluargaku menasihatiku agar tidak terlalu stress dan tertekan. Tapi mereka tidak tahu apa yang terjadi sebenarnya. Biarlah aku dan dia saja yang tahu apa yang terjadi.
Mengapa bencinya dia kepada ku atau jijiknya dia kepadaku pun aku tidak tahu. Yang pasti untuk bersms atau bercakap denganku pun dia tidak mahu. Apatah lagi untuk berjumpa dan bersua muka. Panggilan sayang pun dah lama tidak kudengar. Ya sejak dia tinggalkan aku dan bersama teman baru yang telah dengan mudah “membeli” cinta dan jiwanya itu.
Siapalah aku yang mampu menjaja cinta dengan wang ringgit?? Aku tak punya apa2. Jujur ku akui sejak kali pertama pertemuan pun dia menerima aku yang tidak punya apa2. Apatah lagi untuk melimpahkannya dengan wang ringgit yang sememangnya itu aku tidak mampu. Aku bukan Shah Jahan yang mampu membina Taj Mahal untuk Mumtaz nya. Apatah lagi Rama yang mampu memberikan selautan emas kepada Sita. Aku daif, aku kosong dan tak punya apa2. Pun dulu dia menerima diriku ini yang tidak punya apa2. Tapi aku punya cinta yang luhur dan setia dalam diri. Dan aku telah memberikan hati dan jiwaku kepadanya sehabis mungkin. Aku telah serahkan juga hidup dan maruahku kepadanya. Dan sekarang entah ke mana telah dilemparkan itu semua??
B sayang sangat2 kat ayang. Tu lah sebab bagitahu selalu sayang dan rindu B ini. Muah
-30 September
Itu sms yang dihantarnya kepadaku dulu. Tapi sekarang hilang lenyap semua itu. Tak tahu kemana hilangnya sayang sangat-sangat yang pernah dilafazkan dulu. Yang ada sekarang kebencian dan kejijikan apatah lagi semacam ada kemarahan dan dendam kesumat dalam dirinya untuk terus-terusan meninggalkan aku. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi ini semua. Dan kau hantarkanlah kepada aku semula si dia yang pernah menyayangiku dulu. Jangan ada hasutan dari orang lain. Sesungguhnya aku masih setia disini menunggu dia.
B, andai terbaca coretan ini, ayang minta B kembalilah ke dalam hati yang pernah B isi dahulu. Suburkanlah kasih sayang kita dengan cinta dan rindu. B, hati ini telah pun kau lukai. Jiwa ini sedang hancur dan berdarah. Ayang tidak tahu dan kurang arif dimana salahnya dan dimana silapnya sehingga kasih B sampai ke penghujung penamat. Ayang disini merintih dan menagih kelukaan ini. Penat lagi letih menanggungnya aduhai B. Cubalah berusaha untuk mengembalikan dan meniupkan hidup ayang yang telah terluka ini B. sampai bila harus B pendamkan? Ayang tidak sanggup terbeban dengan perasaan ini seorang diri.
B, kembalilah. Kembali ke rumah yang pernah memberikan kita kebahagiaan. Sayangmu ini tetap menanti saban hari disini. Pulanglah sayang…
Saturday, July 25, 2009
Kau Panggil Aku Sayang
Hari ini rindu menjengah lagi. Entah kenapa hari demi hari kerinduan ku padanya terus mengejar dan menghambat rasa. Apakah dia juga merasai apa yang aku rasa. Entahlah. Dia terlalu cepat melupakan. Apa lagi membuang jauh-jauh perasaannya pada diriku ini. Aku tak pasti adakah sebenarnya dia merupakan boneka atau patung bernyawa?? Atau Sang Pencinta yang benar-benar setia bagai waktu dulu. Entahlah, sesungguhnya aku benar-benar tandus dalam memahami jiwanya kini.
Selepas pertemuan pertama, kami sering berbalas sms dan berjumpa sekerap mungkin. Habis saja dari kelasnya pada pukul 5.30 petang dia pasti terpacul di depan pintu rumahku. Dan kami banyak menghabiskan masa bersama hingga akhirnya perjumpaan pertama itu menjadikan kami gopoh untuk mengikatnya sebagai ikatan kasih sayang. Detik itu siapalah yang tidak bahagia. Detik itu siapalah yang tidak mahu menolaknya. Lantas panggilan saya-awak telah bertukar kepada Abi-Ayang. Ya dialah Abi dan aku Ayang. Sehingga hari ini aku masih menanti panggilan itu terpacul dari mulutnya. Sabarlah menanti dan memujuk diri.
Siapalah aku untuk menolak cinta yang telah dihulurkan, setelah sekian tahun diri ini sepi dan sendiri melangkah ranjau dan gelombang kehidupan. Akhirnya muncul juga seseorang yang sangat bererti dan memahami. Aku masih kaget dan bingung kerana aku mempunyai banyak kekurangan. Dengan tubuh yang berisi, chubby, gemuk dan barangkali sesuai dipanggil gendut aku tak cocok berdampingan dengannya. Bukan macam pinang yang dibelah dua. Apatah lagi kulitku yang agak gelap berbanding dengan dia. Wajah tampan, kulit putih mulus bersih, berbadan atletis dan kekar arghhhh aku jauh ketinggalan. Ku suarakan hal itu kepadanya namun jawapan yang aku terima cukup menakinkan. Cinta boleh dipupuk, apatah lagi cintanya tidak memandang kepada rupa paras dan wang ringgit. Keluhuran dan kebaikan hatiku menjadi bonus untuk kita bersatu luahnya kepadaku sambil membelai pipiku. Bercanda bukan.
Dan sejak itu setiap malam tidurku sering terganggu dengan rayuannya. Aku dibelai dan dicumbu kayak seorang manusia agung dan hebat yang pernah dia jumpa. Hampir setiap malam dan setiap waktu terluang. Dan bila kami berjauhan, rasa rindu dalam dirinya makin menebal dan menggunung. Namun tetap diatasi dengan kiriman puluhan sms dan panggilan menyatakan rasa sayang, rindu dan kasih. Dan aku terus terpana dan lena dengan keasyikan yang diberikannya.
“Abi baru balik masjid ni. Yang sory ek sebab Abi ganggu tido yang malam tadi. Kalau X mesti X ngantuk. Abi Xleh tahan gak dengan yang. Senyum sikit sayang sikit. Muah..
-26 September...
Itu antara sms nya. Hebat bukan luahan kata dan romantisnya dia bila kami tak bersama. Sedangkan usia perkenalan baru masuk 5 hari. Sudah tewas aku dan lemas aku dalam hangatnya cinta yang diberi. Aku amat menyayangi dia. Dia hadir tika aku meminta dan merayu pada yang Maha Pencipta agar dikurniakan seseorang yang boleh menjadi teman, sahabat, kawan mesra dan peneman hidup. Dan Maha Pencipta telah menghantarkan seorang Malaikat Penjaga Syurga untuk menjaga dan menyinari apatah lagi merahmati syurga dunia ciptaanku ini. Dan dengan kasar dan tanpa belas kasihan juga akhirnya kini kasih sayangku padanya dirampas, diragut apatah lagi ditarik dengan serta merta. Sesungguhnya aku telah lemah pada ujian ini yang terjadi tanpa amaran.
Sayangku, percayalah seandainya kau tercipta untuk diriku ini. Akan sentiasa ku terima dirimu itu dalam hidupku. Akan sentiasa ku belai mu dengan rasa sayang dan cinta, agar kasih yang kubina dan kujaga rapi akan kekal buat selama-lamanya. Dan terus menjadi pintalan yang kukuh agar ia tidak terputus dan terlerai. Seandainya kau tercipta untuk diriku ini sayang. Akan ku kutip semua serpihan cintamu itu. Akan ku kutip kasih sayang mu padaku. Akan kukutip kemanisan rindu itu. Akan ku kutip kebahagiaan bersamamu semula. Supaya hatimu dan hatiku kembali menjadi satu. Bersamalah kita membina kebahagiaan yang kekal jitu dan kukuh seandainya kau tercipta untuk diriku ini. Sayangku percayalah. Dari jauh ku himpunkan selalu doa kepada Rabbul Izzati Tuhan Sekalian Alam agar kau disana kembali semula kepadaku bagai waktu dahulu.
Buat kau disana yang membaca coretan luka ini, kembalilah. Jiwa ini hampir luluh sejak kau tinggalkan aku…. Pulanglah sayang. Sesungguhnya tidak jemu aku merayu dan mengemis cintamu. B, ayang sayang sangat kat B. Muahhhh……
Friday, July 24, 2009
Pertemuan pertama (Indahnya Andai Dapat Diulang)
Salam buat semua. Aku masih kukuh disini lagi. Biarpun keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan namun terus gagah diri ini mencoret warkah luka atas kehilangan lalu. Biarlah apa kata orang tentang coretan-coretan luahan rasa ini. Yang pasti aku tahu aku menujukannya khas buat dia yang telah melangkah pergi. Dia yang dulu pernah memanggil aku sayang yang telah dengan senyap berlalu pergi meninggalkan aku terkapai-kapai keseorangan disini.
Aku masih ingat lagi pada detik pertemuan yang lalu. Kali pertama kami bertemu. Ya tarikh 21 September takkan aku lupakan sampai bila2. Biarlah tarikh itu menjadi kisah sejarah manis buat aku. Kisah pertemuan dengan insan yang cukup bermakna pada diriku. Tarikh 21 September adalah 2 hari selepas ulangtahun kelahirannya. Hadiah untuk tahun tersebut yang paling bermakna untuknya adalah aku yang telah hadir bagai mimpi disiang hari. Ya mungkin cocok andai aku catitkan sebagai bulan jatuh ke riba.
Bermula dengan beberapa balasan email dan akhirnya kami saling bertukar nombor telefon. Gambarnya dihantar kepadaku. Katanya dia berada ditengah2. Ya aku tak lupa pada gambar itu. Gambar itu masih lagi aku simpan sampai hari ini. Pada hari pertemuan itu indah belaka dan takkan ku lupa. Ya aku masih ingat lagi. Selepas Zohor dia telah menghantar sms yang pertama dan mengajakku untuk berjumpa. Kami berjanji untuk keluar pada petang itu untuk berbuka puasa bersama.
Dan petang itu dia datang menghampiri kawasan rumahku. Aku masih lagi ingat saat kami mula2 bertentangan mata. Dia memakai baju warna coklat berbelang dan berjeans biru pudar bersandal hitam. Di atas motor Lagenda nya dengan helmet dikepala dan telefon di telinga. Ketika aku memandangnya ayat pertama yang keluar dari mulutku adalah rendang. Ya dia memang agak pendek dan rendang orangnya. Aku tak sangka itulah kekasih hati yang bakal mendamaikan jiwa ini.
Tapi kerendangan itu tidak menjadikan pertemuan kami terhenti. Malahan kami menuju ke satu tempat buat kali pertama. Biarlah aku rahsiakan tempat itu. Kerana aku yakin dia pun masih lagi ingat tempat pertemuan pertama kami. Selepas berkenalan dan berkongsi cerita (hanya aku yang banyak bermadah) kami mula mencari restoran untuk berbuka puasa pada hari itu. Tapi malangnya semua telah penuh. Lantas aku ajaknya ke destinasi yang lain. Dia hanya mengangguk dan menuruti aku.
Aku masih ingat apa yang kami pesan dan apa yang kami lakukan. Saat waktu perpisahan kira-kira jam 9.30 keretaku sampai di bawah rumahku. Aku pun menghulurkan tangan tanda perpisahan dan terima kasih. Namun dia tidak betah berpisah untuk malam itu. Sebaliknya membuat permintaan yang sangat lucu dan entahlah, sukar ku tafsirkan apakah permintaannya itu. Biarlah aku dan dia saja yang tahu apa yang telah dilafazkannya padaku.
Awak, boleh awak…… saya? Nah akhir nya terlontar jua. Aku tidak bersetuju tetapi paksaan, resahan, desahan dan pujukan nya itu melemahkan aku (Maafkan aku Tuhan kerana tewas pada pujukan). Dan akhirnya 2 jiwa menjadi satu. Sesuai dengan tarikh keramat 21 September, 2 hati menjadi satu….
Tapi sekarang aku keseorangan menganyam kerinduan pada dada malam dan menongkah arus hidup yang penuh kepuraan pada siangnya. Percayalah, aku masih lagi mendakap dan memeluk baju dan seluarnya setiap kali pulang dari kerja sampai saat ini. Dan pada malamnya pula kupakaikan baju itu pada bantal pelukku agar aku dapat tidur lena bersama kenangannya. Namun begitu tidurku tidak lagi selena dan seasyik dulu.
Sayangku… Percayalah tanpa ragu, hati ini benar2 ingin mendakap dan memelukmu sekali lagi. Apatah lagi ingin bercumbu dengan mu sampai ke pagi hari. Aku tahu bagi dirimu mustahil untuk merealisasikan mimpiku ini. Tapi percayalah sayang. Aku takkan goyah dan gentar apatah lagi terlerai kasih sayang ku ini padamu. Cintaku masih hangat seperti dahulu. Seperti kali pertama kau lafazkan permintaan mu padaku. Dan kau telah tersenyum puas bila permintaan mu itu aku tunaikan.
Sayangku, jika kau membaca coretan luka ini sentiasa kau beringatlah. Bahawa insan yang bodoh dan tidak pandai bermadah puisi ini benar-benar ingin kau kembali kesisi. Pulanglah kepangkuan ku agar aku bisa berdondang sayang gembira dan tersenyum ketawa sehingga semua mata terpukau dan asyik memandang aku memilikimu.
Buat dia yang telah melangkah pergi… langkahkanlah hatimu semula kini, kepada insan yang pernah kau panggil sayang ini dulu. Ku menanti setia berdiri di sini. Pulanglah sayang... Ku mengharapkan cintamu
Thursday, July 23, 2009
Awal Bismillah Pembuka Bicara
Assalamualaikum wrt. wbt. Salam kasih sayang
Biarlah terlebih dahulu biarlah aku mengenalkan diri yang serba kekurangan ini. Aku seorang insan biasa yang tak dapat lari dari masalah dunia dan jiwa. Aku pernah merasa manisnya cinta dan hebatnya kuasa cinta. Namun kini, siapalah aku untuk menguntai buih-buih di lautan tanpa cinta di hati. Ya benar dia telah pergi meninggalkan aku. Tapi aku masih mengharap ada sinar dihujung
Semua yang aku catatkan disini adalah ulasan duka dan rentetan peristiwa sejak aku ditinggalkan si dia. Dia yang tiba-tiba menghilang dan mendiamkan diri tanpa khabar berita. Siapalah aku untuk bertanya kenapa? Aku tak tahu jawapan hatinya yang ada untukku. Yang pastinya aku disini keseorangan dan kekosongan dalam meniti dan membilang hari-hari tanpa dia disisi.
Diketika ini air mata, sendu dan tangis adalah sahabat yang paling akrab menemani. Terlalu murah rasanya untuk aku menangis. Mungkin aku telah banyak ketawa dan tersenyum sehingga Maha Pencipta telah beri ujian sebesar ini buatku. Mungkin aku tak pernah bersyukur atau berterima kasih atas kedatangan dia menemani aku selama ini. Mungkin ini balasan bagi aku yang tak pandai menghargai dan melayan sehingga kasih yang tersemai rapi dan elok terjaga berlalu begitu saja. Biarlah aku letakkan kesalahan ini 100% pada diriku. Yang penting aku masih mengharap dia kembali padaku.
Siapa dia, hanya aku dan dia yang tahu. Hanya aku dan dia yang tahu rahsia hati kami. Dari detik perkenalan sehingga akhir pertemuan biarlah aku dan dia sahaja yang tahu siapa kami sebenarnya. Terima kasih kalau ada yang sudi mendengar dan membaca coretan ini. Aku hanya bermonolog dan bercerita dengan dia. Dan siapa dia? Aku rasa dia tahu siapa dia. Bagi aku…
Dia adalah insan yang memberi segala kasih yang aku damba selama ini.
Dia adalah insan yang muncul sebagai sahabat yang sentiasa di sisi.
Dia adalah insan yang menabur janji manis dan ungkapan mesra.
Dia adalah insan yang mengajar aku erti kasih sayang dan cinta.
Dia adalah insan yang menjadi teman berkongsi cerita.
Dia adalah insan yang memberi semua rasa dalam diri ini.
Dia adalah insan yang membahagiakan hidup ini.
Dia adalah insan yang menggembirakan hati.
Dia adalah insan yang mencintai.
Dia adalah kekasih yang punya segala-galanya…
Tapi itu dulu. Sebelum aku ditinggalkan dan dia melangkah pergi. Sekarang aku tak tahu lagi apa perasaannya padaku. Aku tak tahu ke mana telah dia campakkan hatinya untukku dan ke mana telah dia lontarkan cintaku yang telah aku beri selama ini. Apa yang aku tahu aku masih menunggu, menanti, setia, mengharap dan selamanya akan berada disini untuk mendakapnya sepuas-puas mungkin dan takkan membiarkannya terlepas dari rangkulan ini buat selama-lamanya. Aku akan tetap setia disini bagai pelabuhan yang menunggu kapal. Biar dihentam ombak badai yang menghempas menyakitkan namun takkan pernah aku berhenti dari menyayangi dia yang tetap dalam hatiku untuk selamanya.
Kalau dia membaca coretan lukaku ini. Aku minta dia berfikir sejenak dengan hati nurani yang putih bersih dan suci mengingati aku seperti kali pertama kami bertemu dulu. Walaupun mungkin telah dia buang aku jauh-jauh daripada hidupku ini percayalah, cintaku, kasihku, sayangku pada dia masih tetap utuh dan setia kerana dia adalah insan kurniaan Maha Pencipta yang benar-benar bererti bagiku.
Sayangku pulanglah... Kepulanganmu ku tunggu.